TIADA apa yang lebih menghibakan buat kumpulan popular Indonesia, Dadali Band, apabila dua ahli anggota mereka meninggal dunia dalam masa seminggu disebabkan Covid-19.
Selepas pemergian gitarisnya, Yuda, pada 7 Julai lalu, seorang lagi anggotanya, Rizz yang juga merupakan pemain keyboard kumpulan itu menghembuskan nafas terakhirnya pada Selasa.
Berita tersebut dikongsi vokalis kumpulan itu, Dyrga, menerusi laman Instagramnya.
"Ya Allah, sekarang keyboardisku, Rixx meninggal dunia. Selamat jalan sahabatku, @rixxdadali, tenang bersama @yudadadali ya. Tunggu kita, nanti menyusul kelak,” tulisnya hiba.
Berita duka tersebut turut disahkan wakil pengurusan Ascada Musik, Sakti, sebagaiamana dilaporkan media Indonesia.
Menurut Sakti, Rixx dijangkiti Covid-19 sejak seminggu lalu, namun hanya menunjukkan gejala ringan dan menjalani kuarantin kendiri di rumah.
"Ya, dia meninggal dunia jam 4.50 (waktu tempatan) kerana jangkitan Covid-19,” katanya.
Terdahulu, Rixx dimasukkan di sebuah hospital di Bogor selepas kesihatannya tiba-tiba merosot di mana kadar oksigen dalam badannya menurun sehingga 77 peratus.
Selain Rixx, Yuda dan Dyrga, Dadali Band turut dianggotai Fadel (pemain bass) dan Oq (pemain dram).
Kumpulan itu ditubuhkan pada 2009 dan popular dengan lagu Di Saat Aku Mencintaimu.