PENYANYI popular, Justin Bieber dikatakan telah berbelanja hampir RM5,800 membeli dadah jenis cannabis di sebuah kedai di Los Angeles, Amerika Syarikat.
Dipetik daripada laporan Mirror.co.uk, penyanyi berusia 27 tahun itu telah menghabiskan masa sekitar 20 minit di kedai bernama Wonderbrett pada Isnin lalu.
Menurut pemilik premis, Brett Feldman, Bieber bertanyakan pelbagai jenis soalan berkaitan dadah yang ada di kedainya.
Pada tahun lalui, Bieber pernah membuka mulut mengenai penyalahgunaan dadah menerusi sebuah dokumentari bertajuk Seasons.
Bieber menceritakan tentang kali pertama mula menghisap ganja dan menyedari perbuatannya itu merupakan permulaan kepada ketagihan.
"Saya mula-mula menghisap ganja ketika berada di halaman belakang rumah. Setelah itu saya mula menyedari yang saya bukan sahaja sekadar ingin mencuba tetapi telah mula rasa ketagih," jelasnya kesal.
Setelah sedar akan kesilapannya, dia segera mendapatkan bantuan perubatan bagi merawat ketagihannya itu.
Penyanyi lagu Peaches itu juga mengakui mendapatkan rawatan klinikal bagi membuang toksin dalam badan akibat penyalahgunaan dadah selama bertahun-tahun.
Meskipun pernah mengakui akan kesilapannya, tindakan Bieber yang berbelanja di kedai tersebut bagaimanapun mengundang pelbagai persoalan yang mengatakan dirinya tidak ubah seperti cakap tidak serupa bikin.
Rata-rata khalayak berpendapat lebih baik dia memberi tumpuan kepada rawatan untuk tidak terus terjebak dengan penyalahgunaan dadah.