PERINTAH Kawalan Pergerakan (PKP) yang masih dilaksanakan di seluruh negeri membuatkan ramai peniaga terpaksa gulung tikar.
Mereka yang berniaga di kedai pula ada yang terpaksa menjaja di tepi jalan gara-gara tidak mampu untuk membayar sewa bulanan.
Tiada cara lain yang mampu dilakukan kerana perniagaan perlu diteruskan demi mencari sesuap nasi.
Hal itu berlaku bukan pada orang Melayu saja, tetapi kepada semua bangsa tidak kira usia muda atau tua.
Masing-masing terpaksa berusaha keras demi kelangsungan hidup.
Perkongsian seorang pemuda yang dikenali dengan nama Hanif Asyraf dalam akaun TikTok membuatkan ramai netizen sebak lebih-lebih lagi melihat kesungguhan itu datang daripada seorang warga emas.
Video pendek yang dikongsikan @hanifasyraf1 itu memperlihatkan seorang nenek yang berusia 87 tahun cekal menjaja nanas, asam gelugor dan serai di tepi kaki lima Pasar Siti Khadijah, Kota Bharu, Kelantan.
Dalam rakaman tersebut juga, nenek yang dikatakan tinggal di Selising, Pasir Puteh itu sanggup menjaja ke Kota Bahru seorang diri. Bukan dekat ya jarak antara tempat itu.
Apabila ditanya tinggal dengan siapa? Nenek itu berkata, beliau hanya tinggal seorang diri dan sudah beberapa hari tidak menjamah nasi.
Apa yang menyedihkan, nenek itu memohon bantuan RM5 daripada pemuda tersebut untuk membeli sedikit beras buatnya.
Terkedu dengan permintaan tersebut, pemuda berkenaan tanpa berlengah membelikan sekampit beras dan mempelawa warga emas itu untuk membeli barangan lain seperti minyak atau telur.
Namun, nenek tersebut berkata, dirinya hanya mahukan beras sahaja untuk menampung hidup dan tidak larat untuk membawa barang lain.
Apa yang membuat netizen sebak, dengan tangan menggigil, nenek tua itu menyerahkan sebungkuas asam gelugor kepada pemuda itu sebagai tanda terima kasih.
Allahu akhbar. Iringan lagu dendangan Jaclyn Victor berjudul Wajah pada video tersebut juga membuatkan ramai sebak.
Rata-rata netizen yang mengikuti perkongsian tersebut meluahkan rasa sedih mengenangkan nasib warga emas tersebut dan bersyukur ada yang sudi membantu.
Ramai berharap mampu menjadi insan berhati mulia untuk membantu orang susah.
Ada niat mahu bantu, namun sedih tiada duit untuk bersedekah ketika zaman Covid-19.
Alhamdulillah, masih ada insan prihatin.
Bukan rezeki sempit, cuma rezeki sedikit. Realiti hidup zaman sekarang.
Ada juga yang menitiskan air mata melihat kisah nenek ini.
Tidak kurang juga berjanji tidak mahu insiden sama berlaku dalam keluarga.
Sedih melihat nenek tua mencari rezeki membuatkan warganet teringat arwah emak.
Sedih memang sedih. Usia seperti itu sepatutnya nenek itu hanya bersenang-lenang bersama insan tersayang atau menghabiskan masa bermain dengan cucu-cucu.
Selepas video itu tular, netizen nampaknya buat kerja overtime apabila mula menyiasat kisah nenek tersebut kerana ingin tahu apa sebenarnya yang berlaku.
Hasil carian menunjukkan nenek yang dikenali dengan nama Che Munah Che Man sebenarnya pernah viral sebelum ini.
Ceritanya pernah dipaparkan di media sebelum dan dikatakan menerima bantuan bulanan daripada kerajaan.
Jika benar warga emas itu sudah dibantu, lega hati semua orangkan? Pada era pandemik ketika ini, sepatutnya warga emas pada usia lanjut seperti itu duduk di rumah saja. Tak perlu ke mana-mana.
Kes sprodik makin banyak dan membimbangkan. Risiko jangkitan pada warga emas sebenarnya cukup tinggi.
Semoga Che Munah dilindungi-NYA dan lebih molek kalau anak-anak atau cucu-cucu membantu dan melarangnya melakukan kerja-kerja berat. #kitajagakita #kitalaluibersama