MASALAH pundi kencing semasa hamil, melahirkan anak dan semasa dalam pantang kerap terjadi kepada ibu-ibu.
Menurut kajian, dianggarkan 20 peratus wanita yang sedang dalam pantang (selepas melahirkan anak) mengalami masalah berkenaan.
Berkongsi lebih mendalam mengenai masalah itu, SinarPlus mendedahkan ilmu baharu seperti yang diterangkan oleh Pengamal Perubatan Am, Dr Zubaidi Ahmad.
Tulisnya di Facebook, semasa hamil, terdapat peningkatan hormon progestron dalam tubuh yang menyebabkan otot pada pundi kencing akan lebih rehat dan mengendur.
"Ia (keadaan itu) akan berlanjutan selepas melahirkan anak dan beberapa minggu dalam pantang.
Pun begitu, penggunaan teknik tambahan semasa melahirkan anak juga menyebabkan masalah berkenaan menjadi bertambah teruk apabila:
i) Menggunakan teknik forcep dan vacum semasa melahirkan anak.
ii) Mempunyai luka eipisotomy yang besar.
iii) Menerima bius epidural atau spinal anesthesia.
Ujar Dr Zubaidi, antara tanda masalah pundi air kencing adalah seperti berikut:
1. Sukar memulakan membuang air kencing.
2. Terpaksa meneran untuk membuang air kencing.
3. Mudah terasa penuh pada bahagian abdomen bawah.
Jadi, bagi wanita yang mengalami masalah sukar membuang air kecil, ini antara saranan yang boleh dilakukan:
1. 'Latih semula' pundi kencing.
- Cuba teran perlahan-lahan bagi memulakan membuang air kencing dan jangan tergopoh-gapah kerana membuatkan lebih sukar membuang air kencing.
2. Buka paip air.
- Kadangkala bunyi air yang mengalir membantu wanita memulakan membuang air kecil dengan lebih baik.
3. Tuamkan bahagian abdomen bawah dengan tuala yang direndam dengan air panas.
4. Rendamkan tangan ke dalam air sejuk, kadangkala dapat membantu untuk memulakan membuang air kencing.
5. Cuba berjalan di sekeliling bilik.
6. Hidu minyak peppermint sangat membantu kerana wanita akan lebih tenang.
7. Jika tidak boleh kencing langsung melebihi 4 hingga 6 jam, dapatkan bantuan jururawat untuk dimasukkan tiub catheter bagi memudahkan air kencing keluar.
Baca juga: Minyak zaitun terbaik! Ini makanan tambahan sihat ibu hamil
Jadi, buat ibu hamil yang akan menimang cahaya mata dan meneruskan fasa berpantang, bolehlah mencuba beberapa kaedah yang disyorkan.
Semoga bermanfaat!