Behati serlah gaya eksotika dalam rekaan

Iklan
Untitled design (16)

BIARPUN masih baharu dalam lapangan fesyen, jenama Behati bukan asing buat mereka yang gemar tampil unik dan luar biasa.

Sejak empat tahun lalu, Behati nampaknya sudah memiliki pengikutnya tersendiri, sambil diiringi deretan kisah tular yang dikaitkan dengan rekaan busana eksotika.

Iklan
Iklan

Mengakui perkara tersebut sesuatu yang boleh dijadikan sebagai batu loncatan melebarkan sayap ke seantero dunia, pengasasnya, Kel Wen berkata, idea yang ditumpahkan pada sehelai kain sebenarnya bukan satu tugas mudah. Ia memerlukan usaha keras dan kajian terperinci.

Pun demikian, helaian demi helaian busana yang dihasilkan Kel seringkali dihambat dengan kontroversi.

Iklan

Masakan tidak, beberapa rekaannya seperti baju Melayu bersaiz terlalu besar (oversize), baju rekaan corak ular sawa dan baju Melayu seluar pendek paras bawah lutut, antara cerita panas yang menjadi buah mulut khayalak.

"Sebagai seorang pereka fesyen, saya sentiasa ingin menampilkan sesuatu yang baharu dan tidak berniat untuk viral. Saya akui perhatian yang diterima secara tidak langsung memberi tekanan untuk terus menghasilkan rekaan baharu yang mungkin boleh menjadi tajuk perbualan mereka," jelasnya berjenaka.

Iklan

Apapun isu yang timbul, kata Kel, misi Behati tetap mahu menjadikan elemen tradisional dan patriotisme sebagai kunci bahan asas labelnya.

"Apabila bercerita soal baju Melayu, masyarakat pasti kaitkan dengan hari raya atau acara tertentu.

"Disebabkan itu, saya cuba melakukan transformasi agar pakaian tersebut boleh dipakai tanpa mengira waktu dan boleh dipadankan dengan gaya asas.

"Meskipun gaya baju Melayu besar tular dan mengundang pelbagai reaksi, namun busana tersebut mendapat perhatian daripada pelanggan dari Jepun dan Perancis. Ini merupakan satu berita baik kerana rakyat luar ingin memakai baju tradisional kita," terangnya yang pernah menjalinkan kerjasama dengan beberapa selebriti tempatan seperti Aina Abdul, Wany Hasrita, Jihan Muse dan Ernie Zakri.

Paling membuatkan dirinya berasa bangga apabila berpeluang menghasilkan busana buat Datuk Seri Siti Nurhaliza untuk muzik video, Kuasa Cinta. Busana yang dipakai penyanyi itu hangat diperkatakan kerana hanya mengambil masa sekitar 11 saat untuk menukar gaun dari berwarna kuning kepada merah.

"Selepas ini saya ingin membawakan jenama Behati ke Eropah. Siapa tahu suatu hari nanti kebaya dengan megahnya diperagakan di pentas peragaan negara Barat," katanya penuh semangat.

Busana dwifungsi

Beritahu pemuda yang baru menjengah usia 25 tahun itu lagi, selain rekaannya berpaksikan kepada keaslian budaya dan jiwa bangsa, beliau sebolehnya mahu setiap koleksi yang dihasilkan boleh dipadankan dengan pakaian harian.

Misalnya, rekaan baju leher bulat bersaiz besar turut boleh dipakai dengan seluar jeans atau slack tidak kira pada acara rasmi atau sebaliknya. Justeru, bagi merealisasikan apa yang yang dihajatkan, Behati memperkenalkan Koleksi Malaysia.

Dalam koleksi berkenaan, Behati antara lain menyediakan pakaian sedia dipakai (ready to wear) dan asas (basic).

Memiliki ciri-ciri potongan klasik, koleksi terbaharu itu turut mengetengahkan pakaian corak batik, pelekat dan kain dari India, kongsi Kel.

"Saya inginkan pakaian kasual yang memiliki sentuhan tradisional dan sekali lagi tidak hanya dipakai pada hari perayaan saja. Pada saya, konsep sebegini sangat bersesuaian dengan negara yang memiliki kepelbagaian kaum di Malaysia," katanya.

Selain itu, ujar pereka fesyen berpotensi itu, koleksi baharu tersebut turut memperlihatkan rekaan baju Melayu sedia ada dengan penambahan warna baharu termasuk memperkenalkan enam rekaan baharu.

Di samping pakaian untuk lelaki, Behati turut memiliki rekaan pakaian wanita seperti baju kurung, kebaya, ceongsam termasuk sepatu dengan gaya klasik.

Bermula bulan ini, koleksi tersebut akan terus berjalan selama setahun hingga tahun hadapan, ujar Kel.