SEJAK kebelakangan ini kita sering mendengar sesetengah pihak dikatakan cuba mengambil kesempatan mengenakan bayaran mahal dalam pengurusan jenazah.
Dalam Islam, pengebumian perlu disegerakan, namun tidak bagi mereka yang kurang berkemampuan.
Menyedari situasi itu, pelakon, Khiriah atau nama sebenarnya Noorkhiriah Ahmad Shapie mengambil inisiatif menjadikan kenderaan kenderaan pelbagai guna (MPV) miliknya sebagai van jenazah.
Bukan itu sahaja, Khiriah bersama suami turut menubuhkan Pertubuhan Amal Nur By Khiriah yang menguruskan proses memandikan, kafan, solat jenazah sehinggalah ke tanah perkuburan tanpa sebarang caj. Ya, percuma!
Menerusi perkongsian di Instagram, Khiriah sentiasa berdoa agar usahanya itu dipermudahkan ALLAH.
Justeru, pelakon utama drama bersiri Nur itu turut menitipkan pesanan buat orang ramai supaya mencari teamnya jika ada kematian.
Semoga ALLAH merahmati dan membalas kebaikan yang dilakukan Khiriah dan pasukan.