PELAWAK dan usahawan, Shuib memaklumkan isterinya, Siti Sarah Raisuddin kini berada dalam keadaan kritikal selepas melahirkan anak keempat mereka.
Ujar Shuib, dia berharap semua pihak untuk mendoakan isterinya dan sesiapa sahaja yang bertarung nyawa melawan virus Covid-19 kini.
"Alhamdulillah lebih kurang jam 4 lebih tadi, anak kami telah pun selamat dilahirkan. Bayi dalam keadaan baik tetapi perlukan alat bantuan pernafasan kerana dilahirkan pramatang.
"Cuma keadaan Sarah agak kritikal. Saya sekeluarga mohon semua teruskan doa untuk Siti Sarah.
"Kita doakan juga semoga sesiapa sahaja yang sedang bertarung nyawa dengan Covid-19 dipermudahkan urusan,” tulisnya menerusi Instagram.
Tambah Shuib, dia juga bersyukur kerana di saat dia diuji, ALLAH SWT membantu dengan menghantar ramai insan yang baik.
"ALLAH Maha Baik. Di saat macam ni ALLAH hantar ramai orang baik untuk membantu dalam pelbagai cara.
"Terima kasih ALLAH, syukur Ya ALLAH. Terima kasih semua di atas bantuan. Terus doakan Sarah kembali sihat, Insya-ALLAH,” luahnya.