ROTI jala memang terkenal sebagai salah satu sajian minum petang. Di negeri-negeri utara, ada yang menjadikan kuih itu sebagai sarapan pagi.
Sajian berkenaan akan bertambah enak sekiranya dicicah dengan kari ayam atau daging yang pekat, selain rendang, serawa durian atau kaya perisa pandan.
Lazimnya, roti jala asli yang dibuat dan dijual berwarna kuning.
Namun, revolusi pembuatan kudapan itu kini semakin berubah seiring dengan cita rasa masyarakat yang menginginkan sesuatu yang unik, tetapi masih mengekalkan keenakannya.
Justeru, seiring dengan selera semasa itu, seorang peniaga, Salmiah Saari bersama anak perempuannya tampil dengan kekreatifannya tersendiri.
Gulungan roti jala yang diusahakannya telah ditransisikan menjadi bentuk kek berwarna-warni.
Selain itu, kuih berkenaan juga dijadikan gubahan bunga ros atau kekwa yang sekali pandang, nampak seperti jambangan bunga yang asli.
Wanita berusia 47 tahun yang juga seorang tukang jahit berkata, pada awalnya, beliau dan anaknya, Nur Izzati Rohaizat, 22, hanya melakukannya secara suka-suka.
"Sejak Perintah Kawalan Pergerakan, tempahan baju berkurangan. Kebetulan pada masa itu, ada kelas dalam talian membuat roti jala dan saya sangat tertarik dengan reka bentuk yang lain daripada kebiasaan.
"Maka, wujudlah Roti Jala Jelitaria," katanya yang menetap di Puncak Alam, Selangor.
Beritahu Salmiah, bukan mudah untuk menghasilkan bancuhan kuih dengan sukatan tepat. Beliau sendiri mencuba beberapa kali sebelum berhasil mendapatkan urat jala yang cantik.
"Namun, bagi saya, paling penting kuih itu mampu bertahan lama dan lembut dalam tempoh 24 jam.
"Alhamdulillah, olahan resipi saya sendiri, ditambah dengan kari ayam istimewa berjaya menambat hati pelanggan," katanya.
Ujar usahawanita itu lagi, untuk membentuk roti jala menjadi gubahan bunga atau kek mengambil masa yang agak lama.
"Selepas 'menjala' di atas dapur, saya peruntukkan lebih kurang dua jam untuk menggubahnya.
"Biasanya, pelanggan menjamu 'kek roti jala' pada majlis hari jadi atau keraian," katanya yang turut mengambil tempahan secara online di luar kawasan Puncak Alam.
Roti Jala Jelitaria
- Lokasi: Puncak Alam, Selangor
- Waktu operasi: Bermula jam 8 pagi hingga 6 petang
- Menu signatur: Roti Jala Jelita dan kari ayam
- Harga: RM50 hingga RM70
- Facebook Jelitaria
Jangan lupa follow kami di Instagram!
Sejak Perintah Kawalan Pergerakan ini, nampaknya para peniaga semakin kreatif menghasilkan sesuatu yang berbeza pada kuih berkenaan. Antaranya seperti yang dilakukan oleh Roti Jala Jelitaria.
Sebenarnya, dalam hal ini, terpulang kepada selera masing-masing.
Ada segelintir yang masih menggemari warna asli roti jala, namun lebih ramai sukakan transformasi kuih tersebut yang diubah kepada beberapa bentuk dan warna yang pelbagai. Tepuk dada, tanya selera.
Justeru, pada minggu ini SinarPlus senaraikan empat lagi peniaga yang mengusahakan roti jala dengan cara mereka tersendiri.
Roti Jala Bunga Cinta
- Alamat: No. 8, Jalan Sungai Agas 3, Off Jalan Kampung Batu 3, Klang
- Waktu operasi: Tempahan dua hari sebelum tarikh penghantaran
- Menu signatur: Roti Jala Bunga2 Cinta vs kari ayam meletup
- Harga: Rm65
- Facebook: Zurila Ghani
- Instagram: Dapurkakmeks
Roti Jala Serawa Durian
- Alamat: Ardence Labs, Eco Ardence, Setia Alam, Selangor
- Waktu operasi: 10 pagi hingga 8 malam
- Harga: Bermula RM90
- Facebook: Arieni's Roti Jala
- Instagram: @arienisrotijala
Roti Jala Coklat
- Alamat: Bandar Baru Sungai Buloh, Selangor
- Waktu operasi: Tempahan dua hari sebelum tarikh penghantaran
- Harga: Bermula RM60
- Facebook: VaNessa Khalid
- Instagram: @jalabonita
Roti Jala Hipster
- Alamat: The Zizz Damansara North, Petaling Jaya, Selangor
- Waktu operasi: Tempahan dua hari sebelum tarikh penghantaran
- Menu signatur: Roti jala cheesy, chicken floss dan butterscotch
- Harga: Bermula RM20 hingga RM45
- Facebook: Roti Jala Hipster
- Instagram: @rotijalahipster