Shuib pegang amanat akhir Siti Sarah

Iklan
Untitled design (76)

PELAWAK dan pelakon, Shuib Sepahtu akan memegang pesanan terakhir yang ditinggalkan isterinya, Allahyarham Siti Sarah Raissuddin sebelum dia ditidurkan.

Menurut Shuib atau nama sebenarnya, Shamira Muhammad, 37, Siti Sarah meminta dia menjaga anak-anak mereka iaitu Uwais Alqarni, 10; Dzahira Talita Zahra, 8; dan Ariq Matin, 6, dengan baik.

Iklan
Iklan

"Dia nak saya jaga anak-anak dengan baik.

"Itu sudah pasti, saya akan didik sebaik mungkin untuk menjadi anak yang soleh dan solehah, Insya-ALLAH,” ujarnya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Sungai Pusu, Gombak pada Isnin.

Iklan

Reda dengan pemergian bidadari syurganya itu, Shuib berharap semua pihak mendoakan perjala­nannya bersama anak-anak selepas ini dipermudahkan.

"Arwah sempat hadiahkan saya dan anak menerusi kehadiran Ayash Affan yang dilahirkan 6 Ogos lalu. Arwah bergelut untuk menyelamatkan anak kami. Ternyata, ALLAH lebih menyayanginya.

Iklan

"Doakan semua urusan saya dipermudahkan,” ujarnya yang terpaksa merahsiakan pemergian Siti Sarah daripada tiga anaknya sehingga selesai urusan pengebumian.

Shuib dan Siti Sarah mendirikan rumah tangga pada 26 Februari 2011.

Dalam pada itu, ketika ditemubual kira-kira jam 2 petang itu, Shuib mendedahkan, tiga anak mereka masih belum mengetahui mengenai pemergian bonda tercinta.

"Ini tugas paling berat untuk saya dan saya perlu beritahu mereka.

"Insya-ALLAH, saya harap semua OK. Terus mendoakan keluarga saya,” katanya.

Sementara itu, jenazah Siti Sarah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Pusu, Gombak di sini pada jam 1.37 tengah hari Isnin.

Pengebumian dilakukan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Siti Sarah, 37, dikebumikan berhampiran pusara ibunya, Noor Aini Mohamad.

Allahyarham meninggal dunia di Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia pada jam 5.13 pagi Isnin setelah beberapa hari bertarung melawan Covid-19.

Tinjauan Sinar Harian di Tanah Perkuburan Islam Sungai Pusu dipenuhi orang ramai yang ingin menyaksikan pengebumian dengan kawasan pintu masuk dan pagar dipenuhi orang ramai sejak jam 12 tengah hari lagi.