PEMERGIAN penyanyi Allahyarham Siti Sarah Raissuddin akibat Covid-19 Isnin lalu meraih perhatian ramai.
Tatkala perjalanan terakhirnya dari hospital ke tanah perkuburan, ribuan pengguna laman sosial menyaksikannya menerusi penstriman langsung di pelbagai platform media. Malah ucapan takziah bertali arus daripada pemimpin negara, para asatizah dan peminat juga diterimanya.
Paling istimewa, solat jenazah ghaib buatnya juga turut dilakukan oleh Imam Masjidil Haram yang turut disertai 300 orang makmum.
Isnin lalu, Malaysia seolah-olah terhenti seketika, seolah-olah 'sugul' dan terkesan lantaran kehilangan seorang selebriti yang ceria tetapi dalam diam banyak melakukan kebaikan untuk masyarakat pemergiannya mendapat perhatian yang cukup luar biasa.
Pasti ada sesuatu yang ada pada dirinya. Sifat, perbuatan dan amalan yang dilakukannya sehingga memperolehi kemuliaan dan penghormatan.
Baru-baru ini, tular di media sosial rakam layar Insta Story lama yang menitipkan lima amalan dilakukan oleh beliau.
Ia adalah rangkuman amalan Allahyarham dalam melalui kehidupan seharian.
1.BANGUN AWAL
Allahyarham mementingkan bangun awal pagi dan melakukan rutin pagi yang terdiri daripada amalan-amalan berlandaskan syariat Islam.
"Bangun awal Subuh kerana Subuh membuka pintu rezeki. Stay up sampai selepas waktu Dhuha,” tulisnya.
Malah ibu kepada empat cahaya mata ini juga mengamalkan surah Al-Waqiah dan bertawakal kepada ALLAH dalam mencari rezeki.
"Baca surah Al-Waqiah siang dan malam kerana janji ALLAH tidak akan ditimpa kepapaan pada siapa yang membacanya.
"Kalau tidak pandai baca, dengar. Sebab lama-lama nanti akan hafal. Bersangka baik pada ALLAH, yakin ALLAH akan bantu dalam apa cara sekalipun, walaupun dalam keadaan yang tidak tercapai dek akal,” tulisnya.
2. BERSEDEKAH
Siti Sarah didedahkan oleh beberapa individu selepas kematiannya sebagai seorang yang pemurah dan sering menghulurkan bantuan buat mereka yang memerlukan. Justeru, tidak hairanlah bersedekah sebagai perkara kedua penting buat dirinya.
"Walau kita tidak cukup, bersedekahlah. Sebab itu janji ALLAH. Kita bagi satu, ALLAH akan gandakan berlipat kali ganda.
"Sebelum bantu orang luar tengok keliling kita dahulu, ibu ayah, adik beradik,” titip Allahyarham.
3. HUBUNGAN BAIK SUAMI ISTERI
Sebagai isteri yang taat kepada Shuib, Allahyarham amat menitikberatkan ketulusan dalam hubungan.
Titipnya, pertengkaran dan pertelingkahan dijauhi sama sekali, malah isteri perlu menjadi penyokong kuat suami.
"Suami isteri jangan bergaduh. Pintu rezeki tertutup. Apa yang kita nak supaya malaikat rahmat sentiasa ada mendoakan rumah kita. Jadi pom-pom girl untuk suami.
"Yakinkan suami yang dia akan dapat bantu keluarga. Keyakinan suami akan meningkat berkali ganda sekiranya kita menjadi pendukung positif bagi suami.
"Keyakinan akan jatuh berkali ganda sekiranya isteri sentiasa melontarkan kata-kata buruk kepada suami,” tulisnya.
4. BERSYUKUR
Siti Sarah juga menitipkan mengenai kesyukuran. Katanya perilaku negatif ‘komplen’ (merungut) tidak membawa kebaikan dalam mencari rezeki, malah membawa aura negatif.
"Bersyukur kerana dengannya kita akan rasa sentiasa cukup. Siapa yang bersyukur ALLAH akan gandakan rezeki kita.
"Apabila cukup, kita tidak komplen. Berhenti dari suka komplen. Ingat, negatif tidak menarik perkara positif dan rezeki adalah perkara positif,” tulisnya.
5. JANGAN LEKAS MARAH
Emosi yang positif juga menjadi keutamaan Siti Sarah. Sabar dan tidak lekas marah menjadi amalan ketika hayatnya kerana beliau percaya emosi yang positif membawa pelbagai kebaikan.
"Jangan mudah marah. Cepat sangat naik hantu. Benda kecil pun nak marah. Marah itu kan kesukaan syaitan.
"Janganlah berdamping denganmu wahai mambang. Kita nak malaikat sentiasa mendoakan kita.
"Keyword ialah ‘sabar.’
"Dalam keadaan sekarang kita jangan fokus kepada yang negatif. Kita fokus kepada yang positif dan tolong jadi positif sebab positif adalah ‘magik’ dan ia menjadi penarik benda-benda baik dalam kehidupan kita,” titipnya.
Baca juga Shuib Pegang Amanat Akhir Siti Sarah
Perkongsiannya ini tentunya memberikan inspirasi terutamanya bagi wanita yang bergelar isteri, ibu dan anak. Meskipun Allahyarham sudah tiada, rata-rata warga maya menjadikan titipannya itu sebagai inspirasi dan panduan. Al-Fatihah.