Shuib belum berkesempatan jumpa Ayash Affan

Iklan
SHUIB

HASRAT pelawak Shuib Sepahtu untuk bertemu dan menatap wajah cahaya mata keempatnya, Ayash Affan buat pertama kalinya pada Rabu, belum kesampaian.

Menurut Shuib, memandangkan keadaan di Hospital Canselor Tunku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia terdedah dengan risiko tinggi Covid-19, doktor menasihatkan agar pertemuan tersebut ditangguhkan dahulu buat masa ini.

Iklan
Iklan

"Sepatutnya hari ini (Rabu) saya akan ke hospital untuk berjumpa dengan anak. Bagaimanapun tengahari tadi, doktor menghubungi saya dan memaklumkan keadaan di hospital buat masa ini agak terdedah dengan risiko Covid-19.

"Jadi untuk lebih selamat, pertemuan itu akan ditangguhkan dahulu sehinggalah keadaan benar-benar mengizinkan,” katanya selepas selesai majlis bacaan Yasin dan tahlil secara maya yang diadakan untuk Siti Sarah pada Rabu.

Iklan

Meskipun begitu, Shuib, 37, berkata, dia akur dengan nasihat doktor dan boleh bersabar menunggu masa itu tiba.

Apatah lagi apabila pihak hospital cuba untuk mendapatkan gambar atau rakaman video wajah bayinya yang kini memasuki usia tujuh hari itu.

Iklan

"Setiap hari anak-anak bertanya bila dapat tengok Ayash. Begitu juga dengan saya yang nak sangat tengok Ayash.

"Bagaimanapun masanya belum tiba lagi. Saya berterima kasih bila pihak hospital cakap mereka akan cuba dapatkan gambar atau video Ayash untuk tatapan kami sekeluarga.

"Alhamdulillah Ayash kini dalam keadaan stabil, cuma dia masih lagi memakai alat bantuan pernafasan. Jadi doktor belum ambil gambar kerana tak nak saya sedih bila melihat anak dalam keadaan seperti itu.

"Mereka ambil sedikit masa lagi untuk memastikan Ayash semakin baik dan tidak lagi memakai alat bantuan pernafasan itu. Selepas itu, mereka akan kongsikan gambar anak,” jelasnya.

Tambah Shuib lagi, dia gembira apabila mendengar perkhabaran positif tentang keadaan bayinya itu dari masa ke semasa.

"Alhamdulillah dia dalam keadaaan yang stabil dan semakin baik. Beratnya pun dah lebih 1.8 kilogram.

"Jika semuanya OK, mungkin dalam sebulan lebih lagi dia akan kembali ke rumah ini,” katanya yang mengharapkan orang ramai agar terus mendoakan kesejahteraan keluarganya.

Selepas pemergian Allahyarham Siti Sarah akibat Covid-19 pada Isnin lalu, Shuib kini menggalas tanggungjawab besar untuk menjaga amanah yang ditinggalkan iaitu empat anak mereka yang terdiri daripada Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, Ariq Matin, 6, dan Ayash Affan.