MENGAMBIL keberkatan Awal Muharram Selasa lalu, pelakon Betty Rahmad mendedahkan dia kini sudah tampil dengan imej berhijab.
Menurut Betty atau nama sebenarnya Norsha Rahmad, 40, hatinya mula terdetik untuk melakukan perubahan setelah melihat anaknya, Ardy Wira yang kini berusia lebih dua tahun sudah lancar mengaji Iqra, sedangkan dirinya masih merangkak-rangkak membaca al-Quran.
Katanya, dia kini sudah perlahan-lahan mengubah rutin hidupnya dan mengamalkan surah Ar-Rahman serta Al Waqiah setiap pagi.
"Setiap kali solat saya akan berdoa untuk menjadikan saya lebih baik, diberi hidayah dan dijadikan orang beriman. Saya terdetik, saya tengok anak saya dah pandai mengaji dan baca Iqra manakala saya yang dah umur berapa ini tak lancar lagi.
"Rutin saya sekarang setiap hari akan bangun pukul 4.30 pagi. Saya akan buat solat tahajud, solat taubat dan doa. Selepas Subuh saya akan ke ruang balkoni di hadapan rumah dan mengaji di situ.
"Setiap hari saya akan baca surah Ar-Rahman dan Al Waqiah. Namun, saya tersentuh setiap kali membaca ayat yang bermaksud ‘nikmat Tuhan yang mana engkau dustakan?'
"Saya terfikir, Alhamdulillah syukur apa yang saya nak, semua Allah bagi. Suami baik dan penyayang, anak bijak dan bisnes yang masih berjalan pada waktu sukar begini sedangkan orang lain bergelut.
"Saya teringat kata seorang ustazah, perempuan senang nak masuk syurga. Syaratnya, jaga suami dan anak, jadi ibu yang baik.
"Saya pun dah jalankan tanggungjawab sebagai ibu dan isteri dengan baik tapi ada yang tak cukup iaitu aurat,” kongsinya dalam sesi siaran langsung di akaun Instagramnya.
[caption id="attachment_55576" width="1024"] Anak Betty, Ardy Wira kini sudah mula belajar Iqra pada usia 2 tahun.[/caption]
Sesi siaran langsung itu turut disertai dua kakaknya iaitu Erma Fatima dan Datin Paduka Umie Aida yang terharu menyaksikan perubahan adik mereka.
Tambah Betty, pemergian rakan artis, Siti Sarah Raissuddin turut menjentik hatinya untuk melakukan perubahan ini.
"Masa arwah masih ada, saya ada pesan tudung jualannya. Waktu itu saya macam ada niat untuk bertudung tapi tak pakai lagi. Tetapi saya tak tahu bagaimana.
"Selepas arwah meninggal dunia, masa itu barulah saya putuskan untuk pakai tudung.
"Ketika membaca doa Awal Muharam, saya solat dan baca al-Quran bukan sebab sedih, takut atau susah. Tapi terlalu bersyukur dengan apa yang saya ada, saya tak tahu apa nak dikejar lagi,” jelasnya.