MAHU menjadi lebih baik. Itu yang dikatakan penyanyi dan komposer sedang meningkat naik, Ippo Hafiz yang kini tampil dengan perubahan baharu dalam hidupnya dalam usaha hijrahnya menjadi manusia lebih diredai.
Menurut Ippo atau nama sebenarnya Muhammad Hafiz Yaziz, 32, dia tekad untuk memilih jalan lebih baik dalam hidupnya, sekali gus mendekati dakwah, beberapa bulan lalu selepas mendapat hidayah.
"Selama setahun ini saya banyak diberi kesedaran dan keinsafan. Sebelum pandemik, terlalu banyak urusan dunia saya utamakan sehingga lalai dengan hal-hal mendekatkan diri dengan ALLAH.
"Alhamdulillah saya mendapat hidayah ketika pandemik ini. Musibah yang didatangkan ALLAH bersama hikmah yang sangat besar untuk kita semua. Ujian dan peluang,” ujarnya kepada SinarPlus.
Bagaimanapun Ippo yang cukup dikenali sebagai penyanyi dan pencipta lagu-lagu runut bunyi (OST) drama dan filem itu mengakui dirinya masih orang yang sama sebagaimana yang dikenali sebelum ini, cuma dia kini lebih dekat dengan Maha Pencipta.
"Penghijrahan ini bukan kerana pengaruh daripada sesiapa. Malah buat masa ini, saya juga tidak menyertai mana-mana kumpulan Tabligh sebagaimana yang sering dikaitkan dengan penghijrahan seseorang.
"Saya bersyukur bila ALLAH buka hati dan akan cuba berusaha menjadi manusia lebih baik, bukan sahaja untuk diri sendiri tetapi juga orang keliling saya,” ujarnya.
Dalam pada itu, Ippo yang juga merupakan penulis lagu Aku Bidadari Syurgamu, nyanyian Datuk Seri Siti Nurhaliza, berkata, dia tetap akan aktif dalam bidang seni seperti biasa, cuma arah tujunya mungkin berubah kepada lagu-lagu berkonsepkan ketuhanan dan kerohanian.
Tidak berani menjanjikan sesuatu yang belum pasti, namun Ippo berhasrat untuk menyampaikan mesej-mesej berunsurkan dakwah dalam karya ciptaannya selepas ini selari dengan penghijrahannya.
"Sebelum penghijrahan, ada beberapa lagu ciptaan saya yang masih menggunakan tema sama sebagaimana sebelum ini telah siap dan dihantarkan kepada syarikat rakaman.
"Jadi saya harap tidak ada yang keliru jika selepas ini, lagu itu dikeluarkan dan ia masih berunsurkan tema cinta kepada manusia.
"Insya-ALLAH selepas ini saya cuba menulis lagu-lagu yang berunsurkan dakwah dan menghantar mesej kebaikan dalam karya. Itu harapan dan perancangan saya, namun jika sebaliknya berlaku mungkin ALLAH ada perancangan lebih baik untuk saya,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Ippo, kini banyak menghabiskan masa bersama keluarga di rumah. Apatah lagi isterinya, Norfarahin Mohd Roslan, kini sedang hamil cahaya mata kedua yang dijangka lahir pada Januari tahun depan.
"Alhamdulillah ALLAH bagi rezeki untuk saya dan isteri menimang seorang lagi cahaya mata dalam tempoh yang tidak begitu jauhpun dengan kehadiran cahaya mata pertama kami, Cinta Rizky Amanda yang kini berusia setahun.
"Doakan agar kesihatan isteri dan anak dalam kandungan sentiasa baik dan semoga saya juga mampu menjadi pelindung kepada keluarga,” katanya.