BANJIR merupakan suatu fenomena alam yang sentiasa melanda negara ini.
Hampir saban tahun, terutamanya ketika musim tengkujuh, sebahagian besar negeri-negeri di negara ini tidak dapat lari daripada ancaman banjir besar.
Namun fenomena kepala air atau sumber sungai berbeza dengan banjir. Ia bermaksud gelombang aliran air mengejut dalam kuantiti yang besar mengalir dari hulu sungai atau air terjun ke sungai utama.
Lazimnya, kejadian kepala air berpunca daripada hujan lebat yang berlaku di hulu sungai. Aliran kepala air boleh terjadi apabila berlaku hujan lebat. Ia berupaya membawa segala macam kelodak, batu dan kayu balak dan merempuh apa sahaja halangan pada laluannya.
Kejadian banjir kilat disebabkan kepala air di Yan, Kedah semalam berlaku di luar jangkaan. Ia berikutan limpahan air deras dari beberapa kawasan peranginan air terjun di kaki Gunung Jerai.
Kira-kira 10 buah kampung yang terlibat lokasinya berdekatan dengan beberapa sungai di kaki Gunung Jerai.
Ia membabitkan perkampungan di kawasan di kaki gunung dan berhampiran sungai iaitu Perigi, Teroi Bukit, Singkir, Kampung Permatang Keramat, Kampung Lubuk Boi, Pekan Yan Besar, Titi Teras, Kampung Acheh dan Kampung Setoi.
Tiada siapa menyangka amaran yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia melibatkan beberapa negeri termasuk Kedah berakhir dengan tragedi.
Dalam amaran tersebut, Langkawi, Yan, Pendang, Kuala Muda, Sik, Baling dan Kulim diramalkan mengalami ribut petir dan hujan lebat.
Susulan kejadian, media tempatan melaporkan tiga orang disahkan maut. Seorang lelaki warga emas berusia 65 tahun menjadi mangsa pertama yang dipercayai lemas di Kampung Setoi, di kaki Gunung Jerai.
Seorang lagi mangsa, mayat Sharuzi Mohamad, 53, ditemui di sebalik timbunan ranting kayu, daun dan lumpur.
Pekerja Jerai Hill Resort di puncak Gunung Jerai itu menjadi mangsa kedua, dengan mayatnya ditemui malam tadi di atas gunung berkenaan. Mangsa sebelum ini dilaporkan hilang dihanyutkan air deras ketika menuruni puncak gunung dengan menaiki motosikal.
Ketiga-tiga mangsa ditemukan maut di beberapa lokasi berbeza. Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor berkata setakat operasi pada jam 1.00 pagi, tiga lagi mangsa dipercayai masih hilang di satu kawasan di Titi Hayun.
Tidak hanya kehilangan jiwa, susulan kejadian kepala air yang berlaku, pelbagai visual amat meruntun hati sesiapa yang melihatnya.
Foto dan video kejadian alam yang memaparkan air sangat deras berwarna coklat membanjiri serata tempat berlegar di laman sosial.
Antara yang dikongsikan ialah kediaman para penduduk musnah, kenderaan rosak teruk malah jalan tar juga terkopak dan musnah.
Kejadian ini sudah tentu menjadi trauma kepada penduduk setempat. Seorang penduduk Kampung Setoi, Mohd Nasir Shuib, 41 menyaksikan korban pertama dalam keadaan yang mengejutkan pada jam 5.30 petang.
"Selepas air banjir surut, saya ternampak mayat seorang lelaki tersangkut pada pokok pisang hadapan rumah dan segera menghubungi polis," katanya.
Malah katanya, mayat lelaki itu dalam keadaan tidak sempurna berkemungkinan akibat dihempap balak.
Tuturnya, banjir kilat terjadi secara tiba-tiba dan mula disedari pada jam 4.00 petang apabila melihat air sungai melimpah.
"Saya pelik tengok paras air sungai naik disusuli bunyi arus yang kuat dan tidak lama kemudian air naik mendadak dan mengalir laju bersama kayu balak di depan rumah saya.
"Suasana bertukar kelam-kabut dengan jeritan penduduk kampung yang tinggal berhampiran sungai meminta tolong," katanya kepada Harian Metro.
Bapa kepada lima anak itu bersyukur sempat menyelamatkan semua ahli keluarga dengan membawa mereka keluar sebelum keadaan lebih buruk.
Mohd Nasir turut mengakui ia kali pertama kejadian seumpama itu berlaku di kampung. Susulan kejadian, dia melihat air bercampur pasir masuk ke dalam rumah.
Manakala seorang lagi penduduk yang juga Pengerusi Persatuan Rekreasi Luar Daerah Yan (Rekey), Mohammad Firdaus Mohmad, 36, berkata kejadian berlaku dengan pantas dan tidak dijangka.
"Dari pagi hujan lebat di atas Gunung Jerai, namun di bawah ini hujan tidak begitu lebat.
"Secara tiba-tiba, dalam jam 3.00 petang, kepala air berlaku di kawasan air terjun termasuk di Pusat Peranginan Seri Perigi. Air sangat kuat dan deras, sehingga merosakkan kawasan itu,” katanya kepada Astro Awani.
Mohammad Firdaus turut berkata perkampungan yang berada di kaki Gunung Jerai juga dinaiki air. Paling terjejas ialah yang terletak berdekatan sungai.
Malah katanya, pekan Yan juga turut dilanda banjir kerana lokasinya yang terletak di tepi laut.
"Paras air laut pula kebetulan ketika ini agak tinggi atau digelar air mati. Jadi ia menyebabkan banjir lambat surut," katanya.
Seorang lagi penduduk, Salwa Md Isa, 34 berkata dia melihat keadaan air deras luar biasa di sungai berhampiran rumahnya semasa kejadian kepala air dari puncak Gunung Jerai 'mengganas' sehingga mengakibatkan banjir besar di kawasan sekitarnya.
"Sepanjang saya membesar di kampung ini, ini kali pertama berlaku kejadian seperti ini.
"Kepala air ini dah biasa berlaku tetapi tidaklah sehingga hingga titi, jalan runtuh, kereta hanyut dan ada yang meninggal, saya rasa sangat takut," katanya kepada Astro Awani.
Salwa turut berkata bencana itu juga telah menyebabkan bekalan air di rumahnya terputus.
Dalam kenyataannya kepada media, Muhammad Sanusi menafikan dakwaan mengatakan banjir berkenaan disebabkan oleh aktiviti pembalakan.
Katanya, kejadian banjir itu sebaliknya berpunca daripada fenomena kepala air dari kawasan puncak Gunung Jerai.
Setakat jam 1 pagi Khamis, tiga lagi mangsa dipercayai masih hilang di satu kawasan di Titi Hayun.
Sumber: Sinar Harian, Harian Metro, Astro Awani
Foto dan video: APM Kedah, Urus Setia Penerangan Darul Aman - UPDA, Media Sosial