JANGAN terkejut jika anda disapa dengan robot kucing yang comel ketika anda berkunjung ke Wad Pediatrik, Pusat Perubatan Sunway (SMC) di Bandar Sunway, Selangor.
Bagi menyuntik keceriaan, wad kanak-kanak itu kini dimeriahkan dengan kemunculan empat robot yang boleh membuatkan pesakit cilik teruja setiap kali tiba waktu makan tengah hari, minum petang dan makan malam.
Ya! Bukan saja ditugaskan sebagai penghantar makanan dan pemandu arah super cute, robot kecerdasan buatan (AI) BellaBot itu turut menghiburkan pesakit cilik dengan mod hari jadi yang akan menghantar kek hari jadi sambil diiringi lagu yang sungguh menghiburkan.
BellaBot turut mempunyai rak empat tingkat untuk menempatkan dulang makanan dan dilengkapi dengan fungsi penghantaran yang boleh disesuaikan, di samping sistem navigasi untuk membolehkannya bergerak dengan selamat di sekitar wad dan juga pekerja lain.
Selain daripada tugasnya di wad pediatrik, BellaBot juga dapat dilihat di lobi hospital sebagai Duta Lobi untuk membantu pelawat mencari arah di sekitar hospital yang kian bertambah besar.
Wah, hebat! Sudah terbayang wajah si comel yang gembira diraikan dengan robot kucing dalam suasana luar biasa, pastinya ia satu pengalaman tidak akan dilupakan.
Berkongsi keistimewaan teknologi Bellabot, Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Perubatan Sunway, Bryan Lin, pihaknya berbesar hati menjadi hospital pertama di negara ini yang menggunakan teknologi canggih tersebut.
"Kejayaan ini bertepatan selepas diiktiraf sebagai Syarikat Hospital Pintar 2021 oleh Frost & Sullivan, bahkan dalam menghadapi cabaran Covid-19, kami terus komited untukmencari kaedah inovatif bagi meningkatkan prestasi perkhidmatan.
"Bukan sahaja memberikan pengalaman terbaik kepada pesakit, malahan kami mengutamakan keselamatan dan kesejahteraan mereka," katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.
Mengulas lebih lanjut, Bryan berkata, kehadiran teknologi pintar seperti BellaBot dapat membantu para kakitangan memberikan perhatian terhadap penjagaan pesakit sekali gus meningkatkan kecekapan operasi.
Sementara itu, Pengurus Perkhidmatan Makanan Pusat Perubatan Sunway, Joanne Leow turut menggalakkan penggunaan BellaBot sebagai kaedah digital dalam mengendalikan perkhidmatan penghantaran makanan.
"Teknologi canggih ini memenuhi keperluan hospital dan pesakit. Kini, BellaBot adalah sebahagian daripada pasukan kami.
"Kami berharap teknologi ini merupakan batu loncatan ke arah kepelbagaian kaedah integrasi untuk perkhidmatan lebih cemerlang sekali gus menjaga pesakit dengan pengalaman serba baharu," katanya.
Pasti ramai tertanya-tanya bagaimana untuk berkomunikasi dengan BellaBot?
Jangan bimbang kerana robot canggih itu mudah dikendalikan dengan dua bahasa iaitu bahasa Inggeris dan Mandarin.
Mungkin pada masa akan datang, akan ditambah kepelbagaian bahasa bagi memudahkan penggunaan robot lebih mesra pengguna.
Hebatkan pendekatan robotik yang dilaksanakan SMC? Pendekatan sama boleh dilihat di klinik luar negara seperti di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu (UAE).
Jangan lupa follow kami di Instagram!
Pada masa sama, SMC juga terus komited dalam pelaburan mengintegrasikan teknologi hospital pintar khususnya automasi proses robotik seiring pandemik Covid-19.
SMC turut bekerjasama dengan Sunway iLabs untuk membina Pod Pengujian Covid-19 tanpa sentuhan bagi membolehkan pekerja kesihatan menjalankan ujian terhadap kes disyaki dalam persekitaran lebih selamat.
Selain itu, Pusat Kawalan Teleperubatan 24 jam turut ditubuhkan bagi membolehkan pesakit mendapatkan rundingan doktor dan pakar hanya dari kediaman mereka sahaja.
Bukan itu sahaja, SMC turut mengambil alih operasi di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid yang dijadikan Pusat Pemberian Vaksin mega bagi membantu negara mencapai imuniti kelompok.