KINI tidak dapat dinafikan lagi aplikasi TikTok sebagai platform perkongian video popular yang membolehkan pengguna membuat dan memuat naik video pendek.
Sesetengah orang hanya mengaitkan aplikasi itu sekadar menari dan seksi namun pelbagai video menarik turut dikongsi warganya yang kreatif sudah tentu boleh memberi manfaat kepada orang lain.
Seperti perkongsian seorang penggunanya dikenali Zabli Ab Hadi yang menunjukkan proses menghasilkan potret penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin (Tok Ti).
Yang menariknya, karya Zabli itu kelihatan sangat luar biasa kerana ia menggunakan susunan kiub rubik.
Semua maklum, kiub rubik ini merupakan permainan menguji minda terdiri dari bongkah kiub warna warni yang perlu disusun ikut warna.
Menurut Zabli, dia menghasilkan potret penyanyi lagu Akulah Bidadari Syurgamu itu sebagai bentuk maklum balas kepada komen Tok Ti di laman Instagram.
Malah, Zabli sebelum ini juga pernah tular apabila dia menghasilkan potret pelakon dan pelawak terkenal Shuib Sepahtu bersama arwah isterinya Allahyarhamah Siti Sarah Raissuddin dengan teknik
yang sama.
Menjengah ruangan komen, rata-rata warga maya amat kagum dengan hasil kreativitinya.
Video berkenaan telah mendapat 1.1 juta tontonan di TikTok sejak dimuat naik 16 jam yang lalu.