SEMALAM, penyanyi yang terkenal dengan lagu Satu Peluang, Andi Bernadee telah mendedahkan ditipu oleh rakan baiknya sehingga menyebabkan dia kehilangan hampir RM70,000.
Bagaimanapun tidak sampai 24 jam membuat pendedahan itu, ada pihak mendakwa individu yang dimaksudkan Andi adalah komposer dan penyanyi baru, Amir Hasan.
Namun Andi menerusi ruang Insta Story miliknya menafikan dakwaan itu.
"'Rakan baik’ saya bukan dia,” ujarnya dengan merujuk profil Instagram Amir Hasan yang juga bekas peserta Big Stage musim ketiga.
Andi dalam masa sama turut meminta mana-mana pihak yang ingin berurusan dengannya supaya menghubungi pengurusnya, Nasir Deraman atau syarikat pengurusannya, Warner Music Malaysia.
"Jika ada sebarang urusan rasmi dengan saya, sila hubungi Nasir Deraman atau pihak Warner Music sahaja.
"Saya tidak melantik sesiapa selain dari pengurus saya iaitu Nasir Deraman untuk menguruskan kerjaya saya,” jelasnya.
Buat laporan polis
[caption id="attachment_56968" width="1024"] Andi ditemani peguamnya membuat satu laporan polis pada Rabu.[/caption]
Terdahulu, Andi meluahkan rasa terkilan apabila rakan baik yang dikenali dua tahun lalu bertindak menyeleweng duit hasil kerjanya berjumlah hampir RM70,000.
Andi atau nama sebenar Andi Azrul Andi Mapangile, 29, berkata, dia hanya menyedari perkara itu selepas wang hasil kerjanya sejak bulan Jun lalui tidak diperoleh.
Justeru dia cuba bertanya kepada pihak klien, sebelum dimaklumkan duit tersebut telah dimasukkan ke akaun peribadi rakan baiknya itu.
"Dia telah memanipulasi WhatsApp yang dihantar kepada dua orang klien supaya mereka memindahkan wang tersebut masuk ke akaun peribadinya.
"Tak nampak mana perginya duit hasil kerja saya, bila ditanya, dia bagi pelbagai alasan seperti klien belum memindahkan wang dan sebagainya.
"Bila saya cuba berbincang, dia buat tak tahu saja. Lepas songlap duit, dia boleh pula malukan saya pada pihak produksi dengan bermacam-macam fitnah,” katanya.
Tambah Andi, dia tidak pernah melantik individu berkenaan sebagai pengurusnya secara rasmi dan hanya meletakkan kepercayaan sebagai kawan baik.
"Tak sangka dia sanggup kacau periuk nasi padahal saya berikan sepenuh kepercayaan kepadanya untuk menguruskan karier saya selama ni selain bawa dia masuk dalam industri.
"Saya sedih dan serabut sebab ia berlaku di tengah-tengah pandemik, apa yang berlaku jejaskan perbelanjaan yang sepatutnya diberikan untuk mak, ayah dan adik yang masih bersekolah,” katanya.
Kecewa dengan tindakan individu berkenaan, Andi bertindak membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur pada Rabu.
Andi yang tiba di balai kira-kira jam 11 pagi tadi turut ditemani peguam, Faizal Rahman dan pengurusnya.