PELAKON dan penyanyi, Bella Astillah berkongsi kisah seram dilalui ketika penggambaran drama bersiri, Malaysian Ghost Stories di Perak, awal bulan ini.
Menurut Bella, dia terlibat dengan penggambaran bagi episod berjudul Balan Balan atau lebih sinonim dengan panggilan hantu Penanggal.
"Penggambaran Balan Balan dilakukan di Perak selepas negeri itu memasuki Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara, awal bulan ini dan penggambaran juga dibenarkan.
"Kejadian berlaku kira-kira jam 7 malam di chalet tempat penggambaran dilakukan. Pada awalnya jurusolek yang nampak kelibat itu dan minta saya pergi lihat.
"Bagaimanapun saya tak nampak apa-apa pada awalnya. Kemudian dengan menggunakan kamera telefon bimbit, saya zoom ke arah yang dimaksudkan sehinggalah saya nampak sesuatu berwarna putih berdekatan tepi sungai yang dipenuhi pokok kelapa sawit.
"Namun saya tak terlintas untuk merekod momen itu dan tidak mahu fokus terganggu,” jelasnya ketika sidang media drama berkenaan yang diadakan secara maya, baru-baru ini.
[caption id="attachment_57152" width="800"] Antara babak dalam Malaysian Ghost Story.[/caption]
Tambah Bella, kru yang bertugas juga mengakui ada terlihat kelibat sama, namun tidak mengendahkannya.
"Saya juga ada menghubungi mama untuk memberitahunya. Mama minta saya membaca ayat suci al-Quran untuk menenangkan diri.
"Saya bersyukur tidak mengalami gangguan atau lemah semangat. Saya kekal fokus dan berbual dengan pengarah, Eoon Shuhaini,” ujarnya.
Isteri kepada pelakon Aliff Aziz ini berkata, dia sememangnya selalu mendengar kisah Balan Balan di negeri kelahirannya iaitu di Sabah.
"Alhamdulillah, hingga saat ini saya tidak pernah melihatnya dengan mata sendiri. Cuma nenek dan pakcik pernah bercerita yang mereka pernah melihatnya.
"Kalau balik ke Sabah pun, saya dan ahli keluarga tak membiasakan menyebut atau memikirkan mengenainya sebab orang tua pernah berkata, jika kita menyebutnya, hantu boleh mendengarnya,” katanya yang memegang watak Maria dan bergandingan dengan pelakon Zahiril Adzim.
[caption id="attachment_57151" width="800"] Bella dan Zahiril, bergandingan buat pertama kali dalam Malaysian Ghost Story untuk episod Balan Balan.[/caption]
Bercerita lanjut mengenai penggambaran drama berkenaan, Bella berkata, memandangkan hanya dia yang berasal Sabah, dia cuba membantu pelakon lain untuk bercakap dialek negeri di bawah bayu itu.
"Penggambaran terpaksa dijalankan di Perak kerana kita tidak boleh merentas ke Sabah. Jadi mereka cuba wujudkan suasana seperti di Sabah.
"Pelakon tambahan yang terlibat juga perlu bercakap dialek Sabah dan saya cuba bantu mereka untuk bercakap cara yang betul kerana kalau salah, loghat Sabah akan nampak pelik dan kelihatan dalam bahasa Indonesia jika silap pertuturan,” katanya.
Drama Malaysian Ghost Stories merupakan idea asal Syawal Azrai membabitkan tiga pengarah. Selain Eoon, Izuan Mokhtar dan Azhari Zain juga turut berada di posisi pengarah.
Ia akan mula bersiaran di Astro Ria setiap Isnin hingga Khamis bermula 25 Ogos lalu. Selain siri Balan Balan, episod lain turut memaparkan kisah hantu lain termasuk pontianak, langsuir, pelesit, hantu kum kum, hantu raya, pocong dan banyak lagi.