Koleh kacang sedap kerana tahi minyaknya, kena cuba ni

Iklan
ROK (2)

TIDAK seperti sesetengah kuih yang terkenal di satu-satu negeri sahaja, kuih koleh kacang boleh didapati di mana-mana tempat dan mudah diperoleh.

Bukan orang dewasa, malah kanak-kanak juga menggemari kuih berkenaan. Rasanya memang tersendiri. Lazimnya, sepotong kuih memang tidak cukup.

Iklan
Iklan

Berbicara lanjut tentang menu tersebut, SinarPlus mendapatkan seorang wanita yang mahir membuat kuih tradisi berkenaan.

Kepada penulis, Rosmianti Mohd Aris berkata, kesedapan kuih koleh kacang sebenarnya terletak pada kuantiti tahi minyak yang digunakan.

Iklan

"Lagi banyak tahi minyak diletakkan di atas permukaan kuih koleh kacang, lagi sedap rasanya," kata anak jati Pahang itu ketika dihubungi baru-baru ini.

Jangan lupa follow kami di Instagram!

Iklan

Ujar wanita berusia 31 tahun itu, cara pembuatan kuih koleh kacang sentuhannya sedikit berbeza daripada orang lain.

Beliau tidak menggunakan gula melaka untuk mendapatkan warna coklat gelap pada kuih berkenaan. Jadi, apa yang dilakukannya? Rahsianya adalah dengan membubuh kicap pekat!

Untuk memasak kuih tradisi itu, Rosmianti menasihatkan kepada mereka yang baru berjinak-jinak mahu mencuba, agar menggunakan api yang perlahan ketika memasak santan.

"Buat kuih ini memang kena sabar. Pastikan santan tadi bertukar menjadi tahi minyak dan berwarna kekuningan.

"Kemudian, tapis tahi minyak yang terhasil daripada minyak. Minyak itu jangan dibuang, guna dua atau tiga sudu besar (minyak) dan masuk ke dalam adunan koleh kacang," katanya memberi panduan.

Kebolehan Rosmianti menyediakan hidangan berkenaan dalam kuantiti yang banyak telah mendorong beliau menjual kudapan tersebut di pasar petang berhampiran kediamannya di Labis, Johor.

Disebabkan situasi wabak Covid-19 yang masih belum reda, Rosmianti mengambil keputusan berniaga secara dalam talian sahaja dulu sehingga situasi betul-betul selamat.

PROFIL

  • Nama: Rosmianti Mohd Aris
  • Umur: 31 tahun
  • Asal: Jerantut, Pahang
  • Menetap: Labis, Johor
  • Facebook: Rosmianti Aris

RESIPI KUIH KOLEH KACANG

Bahan-bahan tahi minyak

  • 300 gram santan pekat
  • Sedikit air
  • Garam

Bahan-bahan air gula

  • 2 cawan air
  • 2 1/2 cawan gula pasir
  • Daun pandan

Bahan-bahan adunan tepung

  • 7 cawan air
  • 2 cawan santan pekat
  • Sedikit garam
  • 3 sudu makan kicap pekat
  • 400 gram tepung kacang hijau

Cara penyediaan adunan tepung:

  1. Masukkan semua bahan adunan tepung ke dalam kuali bersama air gula.
  2. Masukkan dua sudu makan lebihan minyak (semasa membuat tahi minyak) dan satu sudu makan tahi minyak ke dalam kuali yang sama.
  3. Masak di atas api yang sederhana kuat lebih kurang 30 minit sehingga adunan menjadi likat.
  4. Kemudian tuang ke dalam loyang lalu oleskan tahi minyak di atas permukaan kuih koleh kacang.
  5. Kuih koleh kacang siap untuk dihidangkan

Cara penyediaan tahi minyak:

  1. Masukkan santan, air dan garam ke dalam kuali.
  2. Dengan menggunakan api yang sederhana kuat, kacau sehingga kesemua bahan tadi menjadi tahi minyak.

Cara penyediaan air gula:

  1. Satukan kesemua bahan ke dalam kuali.
  2. Kemudian, kacau sehingga menjadi air gula lalu ketepikan.

Sumber Rosmianti Mohd Aris

Jangan lupa follow kami di Instagram!