Gelandangan dapat penempatan, jana pendapatan ketika PKP

Iklan
Gelandangan dapat penempatan, jana pendapatan ketika PKP

RAMADAN kali ini membawa lebih keceriaan kepada Hasan @ Nawi Deraman, 70, gelandangan yang dibantu badan bukan kerajaan (NGO) mendapatkan tempat tinggal lebih selesa di rumah peranginan agro, Min House Camp, Kubang Kerian di sini semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Hasan sebelum ini memilih untuk tinggal di kawasan bandar Kota Bharu secara gelandangan terutama di Masjid Muhammadi, belakang Pasar Siti Khadijah dan beberapa tempat sekitarnya.

Iklan
Iklan

"Saya pernah berbuka puasa dengan anak-anak tetapi sejak empat tahun sebelum ini saya memilih untuk tinggal merata-rata.

"Saya sangka tempat yang diberi adalah rumah dan terkurung hingga menjemukan, tetapi apabila sampai di sini, saya terkejut melihat persekitaran kampung, tepi sungai dan paling gembira ada ternakan ayam dan ikan serta banyak barang lama di sini," katanya ketika ditemui pemberita pada Program Penghantaran Gelandangan di sini hari ini.

Iklan

Program itu melibatkan Yayasan Kaseh Kanser & Kronik (YKKK), Volunteer l Care (VIC), Persatuan Orang Kota Bharu (POKB) dan Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) Cawangan Kelantan, diketuai Dr Johari Yap Abdullah, Persatuan Pegawai Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (PTU) dan Puspanita Cawangan Kelantan.

Sementara itu, Johari berkata penempatan di Min House Camp milik Wan Noriah Wan Ramli mampu memberi manfaat kepada gelandangan yang berpotensi meneruskan hidup lebih baik dan menjana pendapatan sendiri.

Iklan

"Min House Camp merupakan tempat peranginan agro yang mendapat pengiktirafan kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan, malah mendapat pengiktirafan peringkat Piawaian Pelancongan ASEAN sebagai sebuah tempat pelancongan yang mengamalkan konsep Hotel Hijau, turut menjadi tumpuan pelancong tempatan serta luar negara.

"Siapa sangka, daripada tidur merata-rata di atas wakaf di sekitar pasar Siti Khadijah, Hassan kini dapat tidur dengan selesa di atas tilam dan katil, tambahan pula 'rumahnya' betul-betul berada di sebelah sungai sesuai dengan minatnya menternak dan bercucuk tanam secara organik," katanya.

Pemilihan gelandangan untuk dihantar ke Min House Camp adalah berdasarkan syarat seperti tiada penyakit berkaitan seksual, tibi, malah saringan penyakit Covid-19 turut dijalankan.

"Apa yang menarik juga, usaha ini turut mendapat kerjasama daripada kerajaan negeri yang akan menanggung kos tempat tinggal, makan dan minum (gelandangan)," katanya.

BERNAMA