ANDA MUSYKIL DOKTOR JAWAB
Bersama
DR NURUL YAQEEN MOHD ESA
Pakar Perunding Perubatan dan Paru-paru, Pusat Perubatan Sunway Velocity, Kuala Lumpur
(Beliau diundang menjadi panel dalam program DNA yang membicarakan topik Hamil Ketika Pandemik: Antara
Rezeki dan Risiko baru-baru ini)
SOALAN 1
DOKTOR, apabila ibu menghidap Covid-19 semasa hamil, bagaimanakah kondisi anak di dalam kandungan? Mungkin doktor boleh ulas dari segi tahap kesihatan dan jangka hayat bayi?
JAWAPAN:
Pertama sekali, kita perlu memberi fokus kepada keadaan bayi yang dikandung itu.
Sekiranya ibu mempunyai komplikasi disebabkan oleh jangkitan virus Covid-19, kebiasaannya bayi dalam perut turut mempunyai masalah seperti mengalami kekurangan oksigen seperti yang terjadi kepada si ibu.
Oleh itu, kita kena faham, kemelut kekurangan oksigen dalam darah boleh menyebabkan masalah kegagalan beberapa organ seperti buah pinggang, jantung, otak dan sebagainya.
Jadi, dilema yang sama juga boleh berlaku kepada bayi yang sedang dikandung. Selain itu, mungkin masalah-masalah lain juga boleh tercetus, misalnya keracunan di dalam darah disebabkan oleh jangkitan kuman.
Pada masa sama, ibu-ibu hamil yang dijangkiti Covid-19, mereka juga berisiko untuk melahirkan bayi pramatang iaitu bayi dilahirkan tidak mengikut usia yang sepatutnya.
Bayi yang sihat sepatutnya dilahirkan pada usia sekitar 35 hingga 36 minggu. Namun untuk pesakit Covid-19, kadangkala kandungan terpaksa dikeluarkan awal untuk menyelamatkan nyawa si ibu.
Kesannya, bayi yang dilahirkan pada usia tersebut cenderung untuk mendapat komplikasi seperti paru-paru yang tidak matang dan memiliki organ-organ yang belum sempurna pembentukannya.
Artikel berkaitan: 50 kajian meliputi 2.5 juta wanita hamil di dunia yang diberi vaksin tidak rekodkan kecacatan pada bayi
Dalam pada itu, bayi yang mempunyai tempoh hayat kurang 22 minggu juga tidak dapat diselamatkan.
Namun, bayi yang berumur lebih daripada 22 minggu atau yang mempunyai berat 500 gram ke atas mungkin masih boleh diselamatkan dengan bantuan di unit khas sesebuah pusat perubatan.
[caption id="attachment_57872" width="1024"] IMBAS kod QR ini untuk menonton video DNA.[/caption]