KHABAR gembira buat negara apabila seorang lagi atlet lompat jauh, Abdul Latif Romly menghadiahkan pingat emas ketiga buat Malaysia di Sukan Paralimpik Tokyo 2020 semalam.
Walaupun berjaya mempertahankan pingat emas bagi acara lompat jauh lelaki T20, namun kejayaannya penuh debaran ekoran dia mengalami kecederaan sebelum lompatan terakhir.
Namun catatan yang dilakukan Abdul Latiff pada lompatan kedua dan ketiga tidak dapat ditandingi oleh mana-mana peserta membolehkan dia mengekalkan pingat emas yang dimenangi di Paralimpik Rio bagi acara yang sama.
Abdul Latif melakukan lompatan sejauh 7.45 meter (m) pada percubaan kedua dalam aksi final tersebut.
Pingat perak acara itu dimenangi atlet Greece, Athanasios Prodromou dengan catatan 7.17m manakala Nicholas Hum meraih gangsa dengan 7.12m.
Prodromou dilihat berlari dan terus memanggil pegawai perubatan bagi memastikan Abdul Latif diberi rawatan awal dan menyapu pasir yang melekat di badan Abdul Latif setelah wira negara itu dinaikkan di atas kerusi roda.
Orang ramai yang turut menyaksikan detik tersebut memuji tindakan yang dilakukan oleh atlet Greece itu dan menyeru agar rakyat lain untuk berterima kasih kepadanya.
Media sosial Thanasis turut dihujani pujian.
Menjengah ruangan komen, rata-rata warganet memuji sikap Prodromou dan ada juga yang melahirkan rasa terima kasih dan terharu melihat semangat kesukanan yang begitu tinggi pada atlet berkenaan.
Tahniah atas sportmanship yang ditunjukkan. Semangat kesukanan yang tinggi turut dapat membantu ‘menyatukan’ netizen antara negara tersebut.