PELAKON dan pengacara, Janna Nick terus menjadi mangsa buli siber atas tindakan tidak bertanggungjawab netizen yang meninggalkan komen negatif di Instagramnya.
Menerusi perkongsian yang di buat menerusi Insta Story Instagram, Janna berkongsi paparan skrin komen seorang individu yang mengejeknya sebagai pesakit mental.
"Kadang-kadang tak faham macam mana boleh ada manusia yang pergi ke akaun media sosial orang lain, gigih komen benda-benda teruk dan menyakitkan hati orang lain.
"Saya pun pengguna media sosial juga tetapi tidak pergi akaun (media sosial) orang dan bila saya tak suka, saya tulis komen atau tinggalkan kritikan,” luahnya.
[caption id="attachment_58589" width="800"] Janna berkongsi perkara itu menerusi Insta Story miliknya.[/caption]
Tambah Janna atau nama sebenarnya Nurul Janna Muner, 26, dia memilih untuk membuat pendedahan mengenai masalah bipolar yang dihadapinya kerana mahu memberi pendedahan terhadap masalah kesihatan mental.
Katanya, tindakan mengejek atau menyindir orang yang membuat masalah sebegitu sebenarnya mencerminkan keperibadian individu tersebut.
"Benda itu mencerminkan hati orang itu macam mana.
"Saya tak cakap yang saya baik. Tapi, kalau saya nampak perkara yang saya suka, saya akan komen yang positif.
"Kalau tidak, saya diam sahaja. Saya tak akan gigih nak tweet, kutuk orang,” tegasnya.
Ujar Janna lagi, warganet tidak sepatutnya merasa bangga dapat menjadi pembuli siber
"Tak perlu bangga dapat jadi pembuli siber terhebat. Saya tidak faham apa kejayaan anda apabila dapat mengecam seseorang. Rasa puas ke dapat komen benda-benda yang negatif?” katanya yang meminta orang lain membuat apa sahaja yang disukai, tanpa menghiraukan komen negatif orang lain.