BERSAMA Peguam Syarie Tetuan Mohd Irwan Mohd Mubarak, Nurfarhana Abd Manaf
SOALAN
Suami saya memang kaki perempuan dan saya bersetuju berkahwin dengannya disebabkan percaya dia boleh berubah. Pun begitu, semakin lama kami mendirikan rumah tangga, perangainya semakin menjadi-jadi.
Pada suatu hari, seorang lelaki menghubungi dan mendakwa suami sudah berkahwin lain. Saya bingung memikirkan hak nafkah dan penjagaan anak sekiranya kami mengambil keputusan untuk bercerai. Apakah hak-hak saya sebagai isteri yang boleh dituntut di mahkamah?
JAWAPAN
Hakikatnya ramai wanita tidak tahu, sebenarnya keizinan berpoligami di negara ini tidak memerlukan kebenaran isteri pertama.
Dalam Seksyen 23, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam, memberi izin atau tidak, ia tidak mengikat hakim syarie untuk memutuskan tuntutan poligami yang difailkan si suami.
Dalam tuntutan poligami, suami hanya perlu menyuarakan hajat untuk berpoligami kepada isteri pertama dan ia bukan sekadar makluman semata-mata.
Dalam permohonan tersebut, dinyatakan borang-borang berkaitan makluman peribadi isteri sedia ada dan alasan untuk berpoligami.
Pihak suami perlu memenuhi alasan poligami yang ditetapkan. Pada masa sama, perlu diperjelaskan jumlah tanggungan dan kemampuan terhadap isteri sedia ada dan anak-anak.
Dalam tuntutan poligami tersebut, ada ikrar aku janji si suami yang mana jaminan untuk membayar nafkah kepada isteri, anak-anak dan bakal isteri.
Bukan itu sahaja, suami perlu membuat pengisytiharan harta termasuk harta sepencarian supaya hak isteri sedia ada dijamin jika berlaku perceraian atau sebagainya.
Memang tidak dinafikan ada keadaan si suami berkahwin senyap-senyap sama ada melalui nikah sindiket atau berkahwin di luar negara.
Bagi para wanita khususnya isteri kedua atau ketiga atau keempat, saya ingin menasihatkan bahawa pernikahan tanpa mengikut proses undang-undang yang sah akan menimbulkan masalah di kemudian hari.
Pihak pendakwaan boleh membawa kes seperti ini di mahkamah dan sudah pasti, si suami berdepan denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara kurang enam bulan atau kedua-duanya sekali.
Sebab itu, saya sarankan kepada wanita yang berdepan isu suami nikah senyap-senyap ini untuk segera mendapatkan nasihat guaman.
Ia penting untuk mereka mengetahui hak sebagai isteri sedia ada jika perkahwinan itu diteruskan atau hak selepas bercerai sekiranya timbul isu pengabaian.
Si isteri juga boleh membuat tuntutan harta sepencarian sepanjang tempoh perkahwinan sebaik sahaja mengetahui suami berkahwin lain. Boleh juga difailkan selepas perceraian.
Saya juga menasihatkan para wanita tidak cepat melenting sehingga membuat sesuatu tidak sepatutnya.
Apa yang boleh saya sarankan adalah mereka perlu mendapatkan nasihat daripada individu yang boleh dipercayai, arif hukum syarak dan undang-undang.
Sekiranya mengambil keputusan melulu, ia akan memberi kesan kepada diri dan anak-anak nanti.