CANTIK, bergaya dan berbakat besar. Mungkin itu gambaran yang sesuai ditujukan kepada figura berusia 48 tahun ini.
Namun, di sebalik kemewahan dan gaya sofistikated yang ditonjolkan, Rozita Che Wan atau mesra dengan panggilan Che Ta juga punya satu sisi berbeza yang mungkin tidak disedari orang lain.
Sering dilantik menjadi duta, Che Ta tidak hanya meletakkan keuntungan atas angin semata-mata, sebaliknya menggunakan pengaruhnya untuk menjalinkan kerjasama dengan pertubuhan sama ada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau pertubuhan yang tidak berasaskan keuntungan bagi memberi manfaat kepada lebih banyak pihak.
Terbaharu, pemilik nama sebenar Rozita Abu Bakar itu dilantik menjadi duta baharu Himaya. Pelantikan itu melengkapkan barisan duta sedia ada iaitu Erra Fazira, Elfira Loy, Wany Hasrita, Amira Othman dan Nabila Razali.
Lebih istimewa, pelantikan isteri kepada aktor Zain Saidin itu juga seiring dengan Kempen Kutipan Dana bagi Majlis Kanser Nasional (MAKNA) sempena Bulan Kesedaran Kanser Payudara.
"Bila Datuk KK Chua (Ketua Pegawai Eksekutif Anggun Kirana Sdn Bhd) lamar saya sebagai duta baharu Himaya, saya fikir kenapa tidak kita jalinkan kerjasama dengan MAKNA.
"Sebelum ini ketika saya jadi duta satu jenama lain, saya juga minta mereka jalin kerjasama dengan MAKNA.
"Jadi, bila Himaya bersatu dengan MAKNA, saya memberi sokongan penuh dan berharap ia dapat memberi manfaat kepada mereka yang memerlukan.
"Saya juga akan bantu setakat yang mampu agar dapat menyumbang lebih banyak kepada MAKNA” ujarnya pada sidang akhbar pelantikannya sebagai duta Himaya baru-baru ini.
Kempen Kutipan Dana untuk MAKNA akan berlangsung hingga 31 Oktober depan.
[caption id="attachment_58674" width="800"] Che Ta jalin bersetuju menjadi duta Himaya selama enam bulan.[/caption]
Dalam pada itu, ditanya adakah dia bersedia bersatu dengan mana-mana pertubuhan sebagai jurucakap atau duta, anak jati Alor Setar, Kedah itu tidak menolak.
"Saya tidak ada masalah menjalinkan kerjasama sama ada sebagai jurucakap atau duta bagi mana-mana pertubuhan.
"Bagaimanapun, setakat ini, saya belum pernah mendapat tawaran sebegitu. Mungkin disebabkan mereka fikir artis seperti saya akan letakkan bayaran.
"Kalau program amal atau bertujuan membantu mendidik masyarakat, saya tak ada masalah untuk menyertai secara percuma.
"Saya harap usaha kecil saya akan memberi manfaat kepada orang lain,” jelasnya yang akan menjadi duta Himaya selama enam bulan.
Kesedaran kanser
Sementara itu, ditanya tentang kesedaran mengenai kanser dan penjagaan kesihatan, ibu kepada tiga orang cahaya mata itu mengakui tidak pernah menjalani pemeriksaan kesihatan berkala.
Namun, Che Ta cukup mengagumi ibunya, Zabedah Saad, 68, yang mengambil inisiatif menjalani pemeriksaan kesihatan setiap enam bulan.
"Saya memang selalu bawa emak jumpa doktor tetapi saya sendiri tidak buat begitu kerana takut.
"Rasanya kali terakhir saya jumpa doktor melakukan pemeriksaan ketika mengandungkan Aaisyah Dhia Rana.
"Bagaimanapun selepas mendengar penjelasan daripada Farahida Mohd Farid (Pengurus Besar MAKNA), saya akan membuat pemeriksaan berkala selepas ini.
"Mungkin selepas itu saya boleh galakkan orang lain untuk buat perkara serupa bagi memastikan kalau kita ada masalah kesihatan, ia dapat dicegah lebih awal,” ujarnya.
Akui Che Ta, ada juga dalam kalangan ahli keluarganya yang meninggal dunia disebabkan kanser payudara.
"Ayah saya berkahwin empat, dua anak hasil perkahwinan dengan isteri pertama menghidap kanser payudara, seorang daripadanya sudah meninggal dunia.
"Jadi saya harap kita dapat berkongsi ilmu mengenai kanser terutamanya dengan mereka yang tinggal di luar bandar supaya mereka ini tidak bergantung kepada perubatan tradisional semata-mata,” katanya.