PELAKON Nazrief Nazri dan isterinya, Aziatul Aqma Hamdan berkongsi berita duka mengenai anak mereka, Noah, dua bulan yang disahkan positif virus Covid-19.
Menerusi perkongsian yang dibuat oleh Nazrief dan Aziatul Aqma menerusi Instagram pada Khamis, anak lelaki mereka sepatutnya dijadualkan berkhatan pada hari ini.
Bagaimanapun ujian tindak balas rantai polimer (RT-PCR) yang dibuat sebelum proses berkhatan menunjukkan Noah positif virus itu, manakala Nazrief dan isterinya negatif.
"Noah kuat sangat, buat PCR semalam (Rabu) tak menangis langsung sampai doktor pun pelik dan Noah tak ada simptom, cuma batuk berkahak sikit.
"Dan Noah tetap tak meragam atau menangis. Mommy je yang menangis bila dapat tahu,” kongsi Aziatul Aqma.
Dalam hantaran berbeza, Aziatul Aqma turut meminta jururawat yang menjalankan tugas untuk mengikuti prosuder operasi standard (SOP) yang ditetapkan agar tidak menjangkiti orang lain.
"Doakan Noah cepat sihat ya. Lepas tu nak pesan, nurse kalau nak jalankan tugasan, tolong ikut SOP. Saya faham nurse geram dengan Noah, tetapi situasi sekarang bukan masa untuk geram dan gomol baby sesuka hati.
"Tak cukup dalam bilik, dekat kaunter nak bayar bil pun nurse datang pegang-pegang Noah. Nasib mommy cepat-cepat buat muka.
"Rasa nak ikat nurse dekat pokok ada kerengga je sekarang ni,” ujarnya.
[caption id="attachment_59772" width="800"] Perkongsian yang dibuat Aziatul Aqma menerusi akaun Instagramnya.[/caption]
Sementara itu, Nazrief menerusi temubualnya bersama sebuah portal memaklumkan dia dan isteri tidak membawa Noah keluar, kecuali ketika membuat rutin pemeriksaan sejak dilahirkan pada 19 Julai lalu.
"Noah memang tak pernah jumpa sesiapa kecuali staf hospital semasa buat check up (pemeriksaan) sahaja.
"Saya bukan nak menuduh atau menyalahkan sesiapa… tetapi baby kami memang tak jumpa orang, hairan juga sebab kami hanya ke hospital sahaja,” jelasnya.
Nazrief dan Aziatul Aqma berkahwin pada 15 November 2019 di The Seavoy House, Titiwangsa, Kuala Lumpur.