BARU-baru ini tular di media sosial berkenaan tiga pokok milik wanita di Kuala Terengganu yang bernilai RM50,000 dikebas pencuri.
Tiga pokok yang hilang adalah spesies Monstera Albo Marble, Monstera Aurea Marble dan Monstera Albo Halfmoon milik Rus Majida Hassan dikatakan berada di pekarangan kediamannya sebelum kejadian ceroboh dan curi pada 14 September lalu.
Baca juga "Sila Pulangkan...” Pokok Hiasan RM50,000 Dirembat Pencuri, Wanita Buat Laporan Polis
Dalam perkembangan terbaru, dua suspek kes berkenaan difahamkan telah ditahan manakala seorang lagi dipercayai suspek utama sedang diburu polis.
Rus Majida ketika dihubungi SinarPlus mengakui tidak dapat berkongsi lanjut berhubung perkara itu memandangkan ia sedang dalam siasatan.
Pun begitu, jauh di sudut hati dia berharap untuk mendapatkan kembali pokok-pokoknya.
"Saya harap dapat semula pokok dalam keadaan baik dan ia dapat diselamatkan. Moga kes diselesaikan segera,” katanya.
Pun begitu, dia meluahkan supaya pesalah yang mencuri pokok-pokok kesayangannya itu diberikan hukuman setimpal supaya jadi pengajaran kepada semua.
Dalam pada itu, Rus Majida turut mengakui turut dihubungi insan-insan yang menerima nasib yang sama seperti dirinya.
"Ramai hubungi saya terima nasib yang sama, pokok hilang dari laman rumah. Pokok dikorek dari pasu.
"Sekarang aktiviti curi pokok sudah makin menjadi-jadi,” katanya.
Lebih membahayakan, para pencuri kini berani mensasarkan pokok walaupun ia berada di dalam kawasan berpagar.
Kecurian pokok di kawasan awam pun salah, apatah lagi jika di dalam kawasan milik persendirian.
Polis bagaimanapun sedang mengesan suspek utama kes kecurian pokok itu.
Katanya, suspek berjaya dikesan kerana mempromosikan pokok-pokok tersebut secara dalam talian.
"Kita sedang mengesan suspek utama, iaitu individu yang mencuri pokok terbabit.
"Dua orang suspek yang ditahan adalah individu yang menjualnya serta seorang lagi individu yang membenarkan akaunnya digunakan bagi membolehkan transaksi jual beli secara dalam talian berlaku
"Suspek pertama mengaku membuat iklan untuk jual pokok tersebut di Facebook dan hantar kepada pelanggan menggunakan khidmat kurier, manakala suspek kedua menerima bayaran RM3,500 daripada pelanggan," katanya.
Sumber: Rus Majida Hassan, Mstar