UNIK dan sedap. Begitulah yang dapat disimpulkan tatkala melihat nama puteri bongsu pelawak dan penyampai radio, Johan dan Ozlynn Wati.
Setelah 21 hari dilahirkan, pasangan itu akhirnya berkongsi nama anak keenam mereka menerusi akaun Instagram pada Jumaat.
"Alhamdulillah genap 21 hari, lahirnya Nur Latifah Cherdiq Hanania… di hari Jumaat yang indah pada 3 September.
"Nama yang telah disimpan 7 tahun lalu. Akhirnya dapat juga kepada pemilik sebenar. Syukur kepada ALLAH diberikan peluang marasa nikmat sekali lagi, bermata panda di malam hari.
"Berebut siapa nak gendong baby. Tiga putera dan tiga puteri, akhirnya suami kata ok cukup takat ini,” tulisnya.
Selain Cherdiq, Johan dan Ozlynn turut dikurniakan lima lagi cahaya mata iaitu Ahmad Ariq Hanania, Ahmad Sodiq Hanania, Ahmad Haziq Hanania, Nur Latifah Chantiq Hanania dan Nur Latifah Moleiq Hanania.
Ozlynn juga sempat menitipkan pesanan kepada pengikutnya yang belum dikurniakan cahaya mata agar tidak berputus asa.
"Kepada kesayangan kami yang masih belum punya rezeki, jangan putus asa. Sentiasa bersangka baik pada ALLAH.
"Kadangkala tanpa sedar ada nikmat lain yang ALLAH bagi. Tetapi tetap kami mendoakan untuk kalian supaya ALLAH memberi peluang untuk kalian merasa nikmat hamil, melahirkan dan membesarkan anak sendiri.
"Semoga ada rezeki kalian. Ketahuilah, tiada apa yang senang dalam dunia ini. Membesarkan setiap anak juga ada ujiannya.
"Semoga kita semua sentiasa bersyukur atas nikmat dan ujian ALLAH. Ujian kami, kehilangan bonda tercinta,” ujarnya.
Untuk rekod, Ozlynn kehilangan ibu tercinta, Rozidah Jumari pada 20 Julai lalu.