Faralyna kini selesa fokus keluarga dan rumah tangga

Iklan
FARALYNA IDRIS

BIARPUN minat terhadap dunia lakonan begitu mendalam, pelakon Faralyna Idris tidak pernah menyesal mengambil keputusan untuk memperlahankan kerjaya seni demi memberi tumpuan kepada suami dan anak-anak.

Menurut Faralyna, perkahwinan dan zuriat dimiliki memberi ruang kepadanya menebus kembali masa bersama keluarga yang sebelum ini banyak dikorbankan saat meniti populariti.

Iklan
Iklan

"Ketika mengambil keputusan untuk berkahwin, saya tidak terfikir berhenti berlakon. Saya cuma mahu mengambil cuti seketika dan selepas itu aktif semula.

"Bagaimanapun selepas bergelar isteri dan kemudiannya mengandung sebulan selepas itu, saya terus mengambil keputusan untuk berehat daripada berlakon.

Iklan

"Apabila dah ada anak, saya lebih gembira berada di rumah berbanding keluar bekerja. Mungkin saya rindu dikelilingi keluarga kerana dulu tidak banyak masa bersama mereka,” katanya.

Pelakon drama Kisah Kaisara 2 itu mendirikan rumah tangga dengan Muhammad Fikri Abdullah pada tahun 2014 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Fira Anggun, 6, dan Fira Ayu, 3.

Iklan

Mengakui lakonan begitu sebati dalam jiwa, Faralyna tidak menafikan sesekali terasa rindu suasana di lokasi penggambaran. Kali terakhir, pelakon berusia 30 tahun itu membintangi telefilem Skrin Sentuh Hati Eryna, dua tahun lalu.

"Ketika mengandungkan anak kedua, saya dilimpahkan rezeki dengan tawaran berlakon dan mula kembali ke set penggambaran.

"Saya seronok dapat aktif semula dalam bidang seni, cuma jauh di sudut hati saya rasa seperti kehilangan sesuatu.

"Jadi saya memutuskan untuk menjalani rutin seperti biasa di rumah. Saya lebih gembira biarpun tidak lagi mempunyai pendapatan seperti dulu,” ujar ibu kepada dua anak itu.

Keguguran anak ketiga

Faralyna berkata demikian ketika program temubual menerusi sesi siaran langsung Instragram (IG Live) anjuran Nurflixtv bertajuk Rahsia Dia: Jodoh dan Ketentuan bersama hos Diana Amir serta panel jemputan yang terdiri daripada Ustazah Asni dan Zizi Kirana baru-baru ini.

Bahagia dengan kehidupan kini, Faralyna meluahkan rasa syukur apabila menyedari sudah memiliki segala yang diperlukan dan mencukupi buat diri serta keluarga.

"ALLAH memberikan kepada saya sesuatu yang lebih besar iaitu dapat kembali kepada keluarga.

"Bercakap mengenai takdir, saya sebenarnya pernah keguguran ketika mengandungkan anak ketiga pada April lalu. Selepas kejadian tersebut, saya cukup tertekan apatah lagi apabila doktor memberitahu itu adalah anak lelaki.

"Selepas beberapa ketika, saya mula berasa bersalah kerana terlalu melayan kesedihan itu. Saya sepatutnya reda dan terima dengan seikhlas hati. Jika tidak, mungkin saya tidak nampak hikmah di sebalik ujian itu,” kata Faralyna.