TIDAK mahu terus terikat dengan watak-watak baik dan lelaki romantik, aktor Hafidz Roshdi mula mencari kelainan dalam lakonannya.
Menurut Hafidz, yang mula dikenali menerusi drama Tundukkan Playboy Itu, sudah tiba masanya dengan mencuba karakter yang lebih pelbagai dalam usaha untuk memberi lebih cabaran dalam diri.
Membuktikan kata-kata tersebut, aktor berusia 27 tahun itu buat pertama kalinya tampil membawakan watak antagonis bernama Firas dalam drama terbaharu, Perisik Cinta Tak Diundang (PCTD) yang kini bersiaran setiap Isnin hingga Jumaat, jam 7 malam, di TV3.
"Saya sebenarnya sudah lama tunggu karakter sebegini kerana sebelum ini seringkali diberikan watak lelaki baik, romantis atau hero yang serba sempurna.
"Jadi sudah tiba masanya saya mencuba sesuatu yang lain dan PCTD memberikan peluang itu menerusi watak Firas yang psiko dan panas baran.
"Satu pengalaman baharu buat saya, selain cabaran yang sangat berbeza daripada apa yang pernah saya buat dalam drama-drama lakonan sebelum ini,” ujarnya yang ditemui pada sidang media virtual drama tersebut baru-baru ini.
[caption id="attachment_61197" width="768"] Salah satu babak menarik Hafidz dan Shiha dalam drama Perisik Cinta Tak Diundang.[/caption]
Tidak hanya itu, Hafidz mengakui semenjak akhir-akhir ini banyak mengambil watak pelakon pembantu kerana kelainan watak yang ditawarkan berbanding pelakon utama.
"Saya sudah melalui zaman jadi hero dan faham situasinya macamana. Kalau asyik jadi hero sahaja, memang susah nak pelbagaikan watak kerana kebanyakan karakter yang diberikan lebih kurang sama.
"Bila berpeluang jadi hero kedua atau pelakon pembantu, saya jadi lebih seronok. Dapat buat macam-macam karakter yang secara tidak langsung membuka ruang untuk saya mempelbagaikan gaya lakonan.
"Memang tidak mudah, tetapi kita akan rasa lebih puas bila dapat buat benda baharu untuk disajikan kepada penonton,” jelas Hafidz yang sebelum ini turut memberanikan diri berlakon watak komedi menerusi sitcom Sitkom Bujang Tampan Selamba.
Percaya pada rezeki
Mengulas tentang kecenderungan pengarah dan penerbit yang kini kembali kepada trend mengambil penyanyi sebagai pelakon utama dalam karya mereka, Hafidz yang telah membintangi lebih 30 buah drama itu tidak melihat ia sebagai suatu masalah.
Jauh sekali untuk berasa tergugat, bapa kepada dua anak ini percaya ia adalah rezeki masing-masing dan tiada apa yang perlu dipertikaikan.
"Sebenarnya bukanlah perkara baharu kerana pada awal penglibatan saya dalam industri, konsep dan percaturan sedemikian memang telah wujud.
"Saya tidak pernah berasa tergugat atau mahu bersaing dengan mereka kerana percaya itu adalah rezeki masing-masing. Siapa kita nak menidakkannya.
"Alhamdulillah sampai sekarang rezeki saya dalam bidang lakonan tidak pernah putus. Ada sahaja tawaran datang. Kalau tidak sebagai heropun, saya diberikan watak pembantu,” katanya yang bakal tampil dengan drama Cinta Cik Cupid dan Melastik Ke Hatimu 2.