MEMASAK dengan dua kaedah iaitu menumis dan membakar pastinya membuatkan masakan menjadi lebih enak.
Hal tersebut diperakui oleh salah seorang tukang masak, Siti Nur Hayati Che Muda.
SinarPlus baru-baru ini menghubungi beliau untuk bertanya tentang menu istimewa air tangannya, ikan bakar masak lemak yang menggabungkan dua teknik masakan yang menarik.
Kata wanita yang berasal dari Bachok, Kelantan itu, pada asalnya, kulinari tersebut hanya dimasak untuk santapan ahli keluarganya sahaja.
"Namun, selepas itu, saya terdetik untuk berkongsi resipi olahan saya dalam akaun rasmi Facebook saya. Tanpa disangka, ramai yang tertarik dan mahu mencubanya.
Bercerita mengenai tip memasak sajian tersebut, Siti Nur Hayati berkata, ikan yang telah diletakkan garam perlu dibakar terlebih dahulu sehingga kulitnya bertukar sedikit garing.
Seperti biasa, bagi memastikan rasa autentik santan, kelapa parut yang diperah segar sangat digalakkan untuk digunakan.
"Namun, jika sukar mendapatkan santan segar, tidak ada masalah pun. Pakai santan kotak pun okey," katanya.
Nampaknya Siti Nur Hayati tidak lokek untuk mendedahkan lagi rahsia kesedapan sajiannya khas untuk pembaca SinarPlus.
"Pada kesempatan ini saya ingin berkongsi satu lagi petua untuk memantapkan lagi ikan bakar masak lemak ini.
"Sebenarnya, masakan akan lebih membangkitkan selera jika ikan dibakar dengan arang atau pemanggang ajaib. Namun, disebabkan sekarang sudah ada macam-macam gajet, boleh saja guna alat penggoreng udara (air fryer), tetapi isi ikan akan sedikit lembut dan kurang garing.
RESIPI IKAN BAKAR MASAK LEMAK
Bahan-bahan
- 5 ekor ikan kembung (dibakar terlebih dahulu)
- 6 biji cili api (dihiris halus)
- 1 helai daun kunyit (dihiris halus)
- 5 helai daun limau purut (dihiris halus)
- 2 batang serai (ditumbuk kasar)
- 3 ulas bawang merah kecil (dihiris)
- 4 ulas bawang putih ( ditumbuk)
- Satu suku gula melaka
- 1/2 cawan santan pekat
Cara penyediaan:
- Pertama, bakar ikan dan ketepikan seketika.
- Tumis bawang merah, bawang putih dan serai sehingga naik bau.
- Masukkan sedikit air dan kemudian letakkan gula melaka, lalu dimasak sehingga ia cair.
- Selepas itu, masukkan santan dan masak di atas api yang kecil.
- Apabila santan sudah masak, masuk ikan bakar bersama daun limau purut, daun kunyit dan cili api.
- Akhir sekali, perasakan dengan garam sehingga cukup rasa.
Sumber Siti Nur Hayati Che Muda