BERDASARKAN Data Penjanaan Kutipan Sampah, pada tahun lalu, sebanyak 38,081 tan dihasilkan oleh rakyat Malaysia dalam tempoh sehari, berbanding pada thun 2019 (37,462 tan).
Situasi tidak menyenangkan itu ternyata boleh menjejaskan kelestarian alam semula jadi, sekali gus menggugat kualiti hidup masyarakat.
Susulan itu, Alam Flora Sdn Bhd telah merintis idea dengan mengambil inisiatif menganjurkan pertandingan rekaan busana terbaik dengan menggunakan bahan kitar semula.
Mungkin masih ramai menganggap acara berkenaan sebagai satu perkara yang ganjil, tetapi program itu sebenarnya sudah memasuki tahun ke-9!
Mengangkat tema Paper Couture, pertandingan tersebut yang diberi nama Waste Is Amazing pada tahun ini, memperlihatkan seni reka daripada 20 orang peserta amatur dengan latar belakang berbeza.
Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora, Datuk Mohd Zain Hassan berharap, alternatif yang dirangka pihak bagi meningkat kesedaran penduduk untuk mengitar semula sampah dapat membantu melestarikan hidupan flora dan fauna.
[caption id="attachment_61536" width="800"] MOHD ZAIN[/caption]
"Malaysia boleh dikategorikan sebagai sebuah negara muda dalam menjaga alam sekitar terutama melibatkan soal kitar semula. Disebabkan itu, kita perlu lebih pandang ke depan bagi menarik minat orang ramai.
"Salah satunya adalah dengan mengadakan pertandingan rekaan pakaian atau busana yang diperbuat daripada bahan kitar semula seperti kertas dan plastik," katanya.
Mengulas mengenai pemilihan tema berasaskan kertas, Mohd Zain memberitahu, keputusan itu dibuat sebagai tanda sokongan terhadap kajian yang dijalankan oleh Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN).
Menurut JPSPN, kertas merupakan antara bahan buangan ketiga terbesar selepas sisa makanan dan plastik.
"Ia juga bersesuaian dengan aspirasi kerajaan untuk mengurangkan sebanyak 40 peratus sisa yang boleh dikitar semula dibuang ke tapak pelupusan menjelang 2025. Bagi mencapai matlamat ini, Alam Flora mempertingkatkan usaha dalam membudayakan amalan kitar semula,” ujarnya yang yakin pertandingan fesyen tersebut dapat melahirkan generasi berfikiran kritis dan inovatif.
Beliau juga berpendapat, fesyen mempunyai daya tarikan dan nilai estetika tersendiri dalam menterjemahkan rekaan dengan menggunakan material berbeza seperti kertas.
"Menerusi pertandingan ini barisan peserta perlu bijak menggunakan kertas yang dipotong, dilipat dan lekatkan satu persatu agar dapat menghasilkan gaun dan boleh dipakai. Pakaian itu juga perlu diolah agar kelihatan realistik,” tambahnya.
[caption id="attachment_61535" width="800"] AKTIVITI kitar semula boleh dilakukan terhadap barangan seperti plastik, kertas, aluminium dan kaca sekiranya tidak digunakan lagi.[/caption]
Cabaran peserta
Memenangi acara tersebut di tempat pertama, Nor Farizan Jawahir dari Institut Kemahiran Belia Negara, Pertak menzahirkan rasa gembira.
Kalau diikutkan, sudah enam kali beliau menyertai pertandingan tersebut.
Bagi anak muda itu, bukan mudah buatnya menghasilkan gaun berona hitam putih bermotifkan flora dengan hanya menggunakan kertas terbuang berbanding material fabrik.
Mengambil masa sekitar lima hari untuk menyiapkan sepenuhnya rekaan tersebut, Nor Farizan mengakui berdepan dengan beberapa kali kegagalan terutama ketika ingin memilih kertas yang bersesuaian.
"Saya perlu melakukan beberapa kali percubaan bagi mengetahui penggunaan kertas dengan berat yang berbeza sehinggalah berjaya mendapatkan hasil dinginkan.
"Bahagian yang paling mencabar apabila ingin menghasilkan siluet pada gaun dan teknik lipatan kertas agar dapat menyerlahkan rekaan dan motif pakaian itu sendiri,” terangnya.
Pada Waste Is Amazing itu, Muhammad Danish Saiful Rizal dari Universiti Pengurusan Sains dinobatkan sebagai pemenang kedua, sementara tempat ketiga diraih oleh Wan Rahman Muhammad Izzuan Abdul Rahman dari Politeknik Ibrahim Sultan, Pasir Gudang, Johor.
Pemenang bagi kategori Media Sosial Terbaik pula dimenangi oleh Tieya Tailerra dari Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, Selangor.
Kali kedua diadakan secara maya, pemenang tempat pertama membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000 bersama 10 ribu mata ganjaran Mesra Petronas, tifin edisi khas Alam Flora dan e-sijil penyertaan.
Pemenang kedua pula menerima wang tunai RM800, 5 ribu mata ganjaran Mesra Pentronas, tifin edisi khas Alam Flora dan e-sijil penyertaan manakala pemenang ketiga mendapat RM500, 3 ribu mata ganjaran Mesra Petronas, tifin edisi khas Alam Flora dan e-sijil penyertaan.
Jangan lupa follow SinarPlus di Instagram