ALCE Nero, jenama organik terkemuka Itali baru-baru ini memperkenalkan produk terbaharu mereka, Alce Nero Organic Blueberry Jam dan Alce Nero Organic Chestnut Spread.
Alce Nero Organic Blueberry Jam diperbuat daripada lebih 100 gram buah-buahan bagi setiap 100 gram produk akhir.
Ia tidak mengandungi pektin, perisa tiruan, mahupun pewarna makanan.
Jenama berkenaan dalam satu kenyataan berkata, beri biru yang ditanam dan dituai secara organik dimasak menggunakan kaedah pan vakum dan menggunakan suhu rendah.
Tempoh masakan yang pendek juga diimplemenkan bagi mengekalkan aroma dan rasa, selain memastikan nutrien buah-buahan terpelihara.
Alce Nero Organic Chestnut Spread pula mempunyai rasa manis dan mudah untuk disapu.
Dalam pada itu, bagi melihat kesan terhadap kesihatan dan kesejahteraan diri, Alce Nero mengajak rakyat Malaysia untuk mencabar diri dengan kempen Go Organic With Alce Nero.
Jenama itu telah membentuk satu siri resipi yang enak dan mudah disediakan bukan sahaja untuk sarapan, makan tengah hari, malah untuk snek dan juga pencuci mulut.
Sarapan: Apple Cinnamon Chestnut Spread Toast
Hidangan organik yang menggembirakan ini menyerlahkan suasana musim luruh dengan kehadiran epal, serbuk kayu manis dan buah berangan.
Simfoni tekstur sapuan buah berangan, epal rangup dan roti bakar menjadikan hidangan ini satu kegemaran sepanjang masa.
Bakar roti bijirin penuh, kemudian sapukan Alce Nero Organic Chestnut Spread dan taburkan sedikit muesli hancur.
Kemudian, susun beberapa hirisan epal untuk meliputi semua bahagian roti dan ditambah dengan taburan muesli di atasnya.
Lengkapkan hidangan dengan menabur sedikit serbuk kayu manis. Tuangkan sedikit madu sekiranya anda ingin sedikit kemanisan.
Makan Tengah Hari: Laksa Johor
Hidangan tempatan menjadi lebih enak apabila ia organik. Sebagai contoh, hidangan seimbang Laksa Johor ini menggunakan Alce Nero Organic Tricolore Pasta dan bukannya mi laksa yang biasa digunakan.
Rebus ikan seperti sardin segar. Buang tulang dan kisar. Simpan separuh daripada air rebusan ikan tadi.
Sediakan pasta mengikut arahan pada pek.
Kisar 2 batang serai, 5 sentimeter (sm) halia, 5sm lengkuas, 2 bawang besar, 3 cili kering dan 8 ekor udang kering. Tumis sehingga bau harum.
Kemudian, masukkan ikan yang telah dikisar, tambah serbuk kari ikan, santan dan air rebusan ikan yang telah diasingkan. Gaul sebati dan masak sehingga mendidih. Biarkan kuah sehingga pekat.
Untuk dihidangkan: Masukkan sedikit pasta Tricolore dalam mangkuk. Tuangkan kuah laksa yang telah dimasak dan taburkan hirisan timun, kacang panjang, bawang dan daun selasih, tauge yang dicelur serta potongan limau.
Keenakan rasa segar, pedas dan berempah yang dirasai adalah berbaloi dengan tempoh penyediaannya. Anda juga boleh menyediakan air rebusan ikan dengan lebih awal.
Snek atau Pencuci Mulut: Parfait Yogurt
Parfait Yogurt ini amat lazat, sihat, organik dan gambarnya sesuai dimuat naik di laman Instagram anda. Ia sesuai dijadikan sajian pilihan untuk sarapan, snek mahupun pencuci mulut, khasnya pada cuaca yang panas.
Dalam sebuah gelas atau bekas kaca, masukkan Alce Nero Organic Blueberry Jam mengikut keinginan anda, diikuti oleh yogurt Greek dan taburan granola rangup. Hiasi hidangan anda dengan buah-buahan pilihan-beri seperti strawberi yang bukan sahaja berkhasiat tetapi cantik dilihat. Tuangkan sedikit madu organik Alce Nero untuk kemanisan tambahan.
Hidangan ini juga sesuai untuk majlis dan disediakan dengan lebih awal.
Makan malam: Penne Goreng Ayam
Penne goreng ayam organik ini adalah satu sajian yang memuaskan selera dan cepat dimasak. Ia adalah pilihan sempurna bagi hari-hari anda penat bekerja tetapi masih mahu mengekalkan pelan pemakanan organik dan sihat.
Masak Alce Nero Organic Penne sehingga al dente, tapis dan asingkan.
Dalam sebuah pan besar, tumis potongan bawang besar dan merah, hirisan tomato dan taufu sehingga harum. Masukkan pes cili dan Sos Pasta Organik Alce Nero. Biarkan ia masak.
Kemudian, tambahkan ayam dan lobak merah yang telah dipotong dadu. Gaul sehingga ayam telah masak.
Masukkan penne yang telah dimasak, telur yang telah dipukul dan gaul sehingga telur sebati dengan ramuan-ramuan lain. Akhirnya, taburkan potongan daun bawang dan tauge.
Sebelum dihidang, taburkan sedikit hirisan cili.
Penne goreng ayam ini merupakan hidangan sihat yang enak dan mudah disediakan.
Selamat mencuba semua!