INDUSTRI panggung wayang kembali rancak sejak awal bulan ini dengan tayangan-tayangan filem dari luar negara.
Minggu ini, filem Ron’s Gone Wrong terbitan 20th Century Studios dan Locksmith Animation, mula menemui penonton di pawagam sejak 21 Oktober lalu.
Filem animasi itu arahan Sarah Smith dan Jean-Philippe Vine dan pengarah bersama, Octavio Rodriguez dibintangi nama besar seperti Zach Galifianakis (meminjamkan suara untuk watak B-Bot bernama Ron), Jack Dylan Grazer (Barney Pudowski), Olivia Colman (Donka Pudowski), Ed Helms (Graham Pudowski), Justice Smith (Mark Weidell), Rob Delaney (Andrew Morris), Kylie Cantrall (Savannah Meades) dan Ricardo Hurtado (Rich Belcher).
Ron’s Gone Wrong secara ringkasnya mengisahkan dunia pada masa depan apabila kanak-kanak dan remaja didampingi B-Bot atau robot pintar pelbagai fungsi.
[caption id="attachment_62442" width="800"] Majoriti remaja memiliki B-Bot mereka sendiri.[/caption]
Robot tersebut diklasifikasikan sebagai sahabat sejati atau ‘BFF’ yang boleh menghiburkan pemiliknya dan seperti pembantu peribadi.
Boleh dikatakan, hampir semua kanak-kanak dan remaja memiliki B-Bot kecuali Barney Pudowski, seorang nerd yang mempunyai masalah asma dan tiada kawan baik.
Bapa Barney, Graham berusaha untuk membeli B-Bot sempena hari jadi anaknya itu, namun kekangan kewangan membuatkan Graham mendapatkan B-Bot dengan cara salah.
Dalam keterujaan Barney mendapat B-Bot baharu, dia menyedari bahawa ‘rakan baik di luar kotak’ itu mempunyai masalah kerana tidak berfungsi seperti robot lain.
[caption id="attachment_62435" width="800"] Barney mula tertarik untuk berkawan dengan Ron kerana merasakan robot itu berbeza daripada yang lain.[/caption]
Ketika dalam proses untuk memulangkan semula robot tersebut, Barney menyedari B-Botnya itu berbeza dan mengambil keputusan mengajar robot bernama Ron itu.
Pada pandangan penulis, Ron’s Gone Wrong adalah sebuah filem yang banyak membawa mesej positif dan realiti tentang kehidupan masa kini.
[caption id="attachment_62436" width="800"] Kanak-kanak mula bersaing sesama mereka untuk menunjukkan B-Bot siapa yang paling hebat.[/caption]
Tidak perlu menunggu sehingga 10 tahun akan datang, namun dapat kita lihat pada hari ini pelbagai lapisan masyarakat mula ketagih dengan gajet.
Biarpun hidup dalam keluarga susah atau sederhana, ada yang sanggup berusaha mendapatkan peranti teknologi terkini walaupun harganya melebihi kemampuan.
Itulah yang cuba diterjemahkan oleh penulis skrip Peter Baynham dan Sarah Smith. Mereka cuba memperlihatkan apa kesannya apabila orang tidak lagi berinteraksi dengan manusia, sebaliknya memilih untuk berkawan baik dengan gajet.
[caption id="attachment_62440" width="800"] Ron's Gone Wrong membawa mesej dan paparan tentang realiti dunia gajet pada hari ini.[/caption]
Walaupun cerita itu seperti disusun untuk kanak-kanak, namun orang dewasa juga pasti terjentik dengan jalan cerita filem ini.
Pastinya penonton akan terhibur dengan B-Bot bernama Ron yang kelihatan seperti seorang budak yang naif tetapi cepat belajar untuk menghiburkan pemiliknya.
[caption id="attachment_62437" width="800"] Barney dan Ron mula menjadi buruan selepas 'damage' yang dilakukan B-Bot itu.[/caption]
Babak yang paling penulis ingat tentu sekali ketika Ron belajar menyanyi dan menari bersama nenek Barney dengan lirik lagu ‘diki diki daka’.
Banyak lagi babak-babak yang mencuit hati ditonjolkan dalam Ron’s Gone Wrong dengan hasil animasi yang cukup kemas dan berwarna-warni.
Secara keseluruhannya bagi penulis, filem itu cukup menarik untuk ditonton, terutamanya bersama seisi keluarga pada hujung minggu ini.
Bintang : 4/5
##Psst... Dapatkan akhbar Sinar Harian untuk menyertai peraduan istimewa filem ini.