Pernah merangkak ambil makanan, Farahanim Razak imbas hamil kembar seiras

Iklan
Farahanim Razak

FARAHANIM RAZAK merupakan salah seorang pengacara yang tidak asing lagi di negara ini.

Bukan sahaja memiliki raut wajah yang jelita, malah kepetahannya mengendalikan program berunsur kewanitaan dan keagamaan membuatkan ramai yang terpesona dengannya.

Iklan
Iklan

Seperti yang selalu diperkatakan ramai, tidak sukar untuk bekerja dengan Farahanim kerana wanita itu sering digambarkan sebagai individu yang berdisiplin tinggi.

Kata-kata yang didengari penulis sememangnya wajar untuk dipercayai. Pertemuan kami sepatutnya berlangsung pada jam 11 pagi, namun pada jam 10.29 pagi beliau sudah terpacul di muka pintu pejabat Sinar Karangkraf di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Iklan

Sebaik sahaja sampai, penulis mempelawanya minum di kafeteria. Sambil meneguk air, Farahanim yang membahasakan dirinya Anim lantas berkata:"Sudah lama Anim tidak jejakkan kaki di sini. Rindunya dengan suasana ini."

Rupa-rupanya, sebelum ini, beliau kerap ke pejabat kami atas urusan tertentu. Cuma, penulis sahaja yang tidak perasan.

Iklan

Memilih untuk memperagakan busana sendiri, pemilik nama penuh Nur Farahanim Abd Razak tidak perlu diberi arahan berlebihan untuk bergaya. Hal itu sekali gus memudahkan tugas jurufoto, Asril Aswandy Shukor.

Usaha keras

Seusai sesi fotografi berakhir, pengacara TV AlHijrah yang berusia 31 tahun pada 21 Mei lalu mula bercerita tentang perkembangan terbaharunya.

Ujarnya kepada penulis, beliau masih aktif sebagai pengacara televisyen, selain memberi fokus kepada bidang perniagaan berkonsepkan produk kosmetik yang dipeloporinya.

Ketika kami bersua, Anim baru sahaja melangsaikan tugasan mengendalikan program rakaman bertajuk Makmurkan Hidupku sebanyak 10 episod.

Kata beliau, sebenarnya bidang pengacaraan yang direntasnya kini tersasar jauh daripada matlamat dan visi asal beliau.

Ungkap anak peneroka felda itu, sejak kecil, dirinya bercita-cita mahu menjadi tenaga pengajar.

"Memang minat sangat dengan karier sebagai cikgu, tetapi nampaknya tidak berkesempatan memegang ‘mandat‘ berkenaan," bicaranya mengimbau kenangan silam.

Kita hanya mampu merancang, namun ALLAH juga yang menentukan segalanya.

Tatkala berada di universiti, tiada siapa yang memaksa dan tidak tahu di mana dorongan itu datang, minat untuk mengacara itu timbul dalam diri wanita tersebut.

Namun, selepas tamat pengajian, beliau terlebih dulu menabur khidmat di sebuah syarikat minyak dan gas.

Pun demikian, isteri kepada seorang doktor gigi itu sempat menghadiri pelbagai uji bakat untuk menguji sejauhmana kemampuannya.

"Akhirnya, selepas beberapa kali berusaha dan mencuba, rezeki saya datang selepas bertahun-tahun menunggu. Penampilan sulung saya adalah dalam rancangan Soal Wanita ketika saya berusia 25 tahun.

"Betul, bidang ini bukanlah sesuatu yang mudah. Anim bekerja keras untuk mengasah bakat dan menimba ilmu. Untuk mencapai impian ini, Anim kerap membaca, hadir ke kelas-kelas untuk memantapkan kemahiran dan bertanya kepada senior-senior dalam bidang pengacaraan," beritahunya.

Tutur graduan Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, Selangor itu, untuk menjadi pengacara berkualiti, seseorang perlu berani, mempunyai keazaman yang kuat untuk sentiasa mencabar diri dan mempelajari pengetahuan baharu. Itulah yang menjadi prinsipnya kini dan selamanya.

"Anim hanya bermula dengan program rakaman, namun Anim tetap lakukan yang terbaik. Selepas bakat diiktiraf, barulah diserap masuk untuk mengemudi program live (secara langsung).

"Apabila mengacara program live, otak memang tidak boleh kosong. Anim memang kena sentiasa bersedia dan tidak boleh gugup, apatah lagi teragak-agak.

Diam tidak diam, sudah lapan tahun selebriti cantik itu setia bersama TV Alhijrah. Walaupun durasi tersebut hampir mencecah sedekad lamanya, beliau masih menganggap dirinya memiliki banyak kekurangan dan perlu memperbaiki skil dari semasa ke semasa.

"Kemahiran pengacaraan memang perlu diasah. Tidak boleh rasa diri sentiasa hebat dan hanya berhenti belajar di situ sahaja. Oleh sebab itu, Anim secara terbuka terima apa sahaja kritikan dan tohmahan untuk melonjakkan diri ke tahap yang lebih baik.

"Semua teguran sama ada daripada penonton atau sesiapan pun akan dihadam, tidak kiralah mereka komen dari aspek penyampaian atau pemakaian," beritahunya.

Anim merumuskan, setiap ulasan baik atau buruk yang dilemparkan, ia sebenarnya membentuk dan membina prestasi dirinya.

Cerita #RaissaTwins

Memiliki seramai 856,000 pengikut di laman Instagram membuatkan apa sahaja yang dimuat naik oleh wanita berkulit mulus itu menarik perhatian para pelayar.

Pastinya yang paling menonjol adalah kelibat dua anak kembar perempuannya yang sangat comel iaitu Amina Raissa Arif Aizudin (Nana) dan Amira Raissa Arif Aizudin (Rara) yang kini berusia tiga tahun.

Di dalam dunia maya, si kecil itu dikenali dengan #RaissaTwins.

Ujar Anim, sebenarnya sama ada di pihaknya mahupun keluarga suaminya, Dr Arif Aizudin tiada langsung genetik kembar.

Kepada penulis, anak kelahiran Jengka, Pahang itu berkata, ketika mengandung si kembar, cabaran terbesar yang dihadapinya adalah terpaksa berjauhan dengan suami.

"Bayangkan, Anim hadir pemeriksaan di hospital seorang diri. Waktu itu Anim mampu menaiki Grab sahaja ke sana. Apabila lapar, Anim perlu merangkak pergi ke peti ais untuk mengambil makanan dan susu.

"Memandangkan bayi kembar membesar dalam satu rahim, jadi Anim perlu makan dan minum sebanyak mungkin kerana mereka perlu berebut untuk membesar," imbasnya.

Bagaimanapun, dengan izin YANG MAHA ESA, segalanya berjalan lancar tanpa sebarang komplikasi. Alahan semasa berbadan dua juga pun tidaklah seteruk mana, katanya.

"Anim hanya tak boleh berbau tumisan makanan sahaja pada trimester pertama. Nana dan Rara sudah berusia tiga tahun. Kini, Anim sedang melalui fasa menjaga mereka yang kerap menangis serentak, tantrum serentak dan mengigau juga serentak. Pendek kata, semuanya serentak," katanya.

Bekas model Muslimah tersebut mengakui, transisi dua zuriatnya memerlukan beliau bersabar, berfikiran positif dan tidak boleh merungut dengan amanah daripada ALLAH SWT.

"Ya, kadangkala Anim mengaku, memang akan rasa down dan seakan-akan depresi, namun Anim tenangkan diri kerana bukan semua orang mempunyai rezeki menjaga anak kembar," beritahu pengasas farahanimbeauty itu.

Mengenai nama samaran ‘tembikai‘ yang diberikan kepada ##RaissaTwins, wanita itu tertawa seketika sebaik soalan itu diajukan .

Dengan wajah penuh kemanisan, Anim berkata:"Nama itu hanya sekadar suka-suka saja. Selepas habis pantang, muka Nana dan Rara sangat bulat. Sebab itu Anim gelarkan mereka ‘tembikai‘. Tak sangka ramai yang suka sehingga segala keperluan harian seperti baju, seluar, sepit rambut ada corak tembikai."

Isu vaksin

Semasa bersembang, secara spontan, topik vaksin menjadi isi perbualan kami. Jika pembaca SinarPlus perasan, baru-baru ini nama Anim terkait dengan isu pengambilan vaksin.

Memberi respons mengenai kontroversi yang menjalar dalam media sosial sebelum ini, wanita jelita itu mengakui, sedikit sebanyak kesalahan tersebut datang daripadanya.

"Sebenarnya, dalam isu itu Anim juga bersalah kerana tidak fikir baik dan buruknya selepas membuat ciapan di Twitter mengenai beberapa orang rakan artis yang enggan menerima suntikan vaksin Covid-19.

Ah! Lupakan itu semua, selaku personaliti berpengaruh, beliau menegaskan, tiada sebarang keraguan dalam menyuntik vaksin demi kemaslahatan diri.

Katanya, meskipun vaksin adalah pilihan peribadi, namun janganlah sampai menyusah dan membebankan kehidupan orang lain.

"Semua orang sedia maklum, seandainya kita ingin menjejakkan kaki di Tanah Suci sekalipun, suntikan vaksin Covid-19  menjadi salah satu syarat wajib .

"Jadi, apa lagi alasan untuk seseorang itu menolaknya? Kita kena tahu, meskipun vaksin bukanlah kebal, namun komplikasinya akan lebih rendah berbanding individu yang tidak mendapatkan perlindungan vaksin," ujarnya bersungguh-sungguh.

Melihat kepada larangan merentas negeri dan melangkaui sempadan negara yang sudah dimansuhkan, nasihat Anim kepada semua, jangan sesekali melanggar prosedur operasi standard yang selama ini dipraktikkan.

"Jangan lupa memakai pelitup muka terutamanya ketika pulang ke kampung atau berada di lokasi tumpuan ramai.

Jangan lupa follow kami di Instagram!