BAGI mereka yang ingin melangsungkan pernikahan sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP), bolehlah rujuk prosedur yang ditetapkan Jabatan Agama Islam di negeri masing-masing.
Seperti di Selangor, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) memberi kerjasama untuk kebenaran khas melaksanakan nikah secara atas talian bagi pasangan yang betul-betul memerlukan.
Untuk ketahui lebih lanjut, boleh lihat syarat yang ditetapkan seperti:
- Sudah mendapat kebenaran berkahwin daripada JAIS atau jabatan agama Islam negeri (JAIN)
- Sudah menerima keputusan ujian saringan HIV
- Perintah wali hakim, bawah umur, janda berhias (jika berkaitan) yang masih sah
- Visa berdasarkan surat pengesahan pas daripada Jabatan Imigresen (jika berkaitan).
Perkongsian PU Azman di media sosial juga lebih memudahkan orang ramai memahami konsep nikah online ini seperti:
- Mesti dilakukan secara video conference yang mana wali dan pengantin lelaki saling melihat.
- Dilakukan dalam satu majlis. Imam Hambali mendefinisikan satu majlis ialah kesatuan waktu, bukan kesatuan tempat dan fizik. Pandangan ini dipersetujui oleh Imam Hanafi.
- Dihadiri dua saksi dan rukun nikah yang lain. Dua saksi mendengar dan memahami urusan ijab dan qabul.
- Diyakini semua individu yang terlibat dalam nikah online adalah individu sebenar.
- Ijab dan qabul dilakukan bersambung dan tidak diselangi dengan sesuatu yang merosakkan kesatuan majlis.
Nah! Macam mudah bukan? Tetapi perlu diingatkan line internet kena kuat ya gais sebab risau juga kalau-kalau line terputus ketika lafaz nikah. Tak pasal-pasal kena ulang banyak kali.
Apa yang penting, kerajaan dan agensi kerajaan sangat prihatin dengan keperluan pasangan yang ingin melangsungkan perkahwinan meskipun dalam tempoh PKP.
Bagaimanapun, permohonan Kebenaran Berkahwin Online pada masa ini hanya meliputi permohonan yang dibuat di Negeri Sembilan, Melaka, Perlis, Kedah, Perak dan Wilayah Persekutuan sahaja.
Tidak mustahil kebenaran khas ini akan terus diperluaskan bagi merangkumi negeri-negeri lain dalam masa yang terdekat.