Talam seri muka pulut hitam bantu pesara tentera jana lebih pendapatan

Iklan
Untitled design (1)

PADA awalnya, Zainal Abidin Kamar Abdul Hamid yang juga pesara tentera mempelajari teknik penyediaan kuih seri muka pulut hitam secara suka-suka.

Bapa kepada empat orang cahaya mata itu juga berbuat demikian bagi memenuhi permintaan keluarga terutama isterinya yang gemar menikmati kuih tradisional tersebut.

Iklan
Iklan

Pun demikian, Zainal Abidin yang mahu disapa sebagai Zainal berkata, lama-kelamaan daripada minat, kuih tradisional itu telah menjadi salah satu sumber pendapatan mereka sekeluarga.

Menetap di Port Dickson, Negeri Sembilan, pengusaha itu memberitahu, beliau mempelajari membuat kuih seri muka atau talam dengan menghadiri kelas memasak di Shah Alam, Selangor.

Iklan

Tidak bertumpu di satu lokasi sahaja, Zainal sanggup berguru dengan pelbagai tukang masak demi menggali lebih terperinci bagaimana menghasilkan kuih warisan tersebut dengan formula yang tepat dari segi sukatan dan bahan-bahan yang perlu digunakan.

[caption id="attachment_63218" width="800"] KUIH seri muka pulut hitam antara hidangan pencuci mulut yang digemari masyarakat setempat.[/caption]

Iklan

"Penghasilan kuih ini memerlukan disiplin dan teknik adunan serta pengewapan yang betul agar permukaannya tampak kemas, selain permukaan atas tidak rosak.

"Bagi kuih talam pulut hitam, gabungan adunan pulut hitam dan putih perlu sebati. Ini kerana fungsi pulut putih itu sebagai gam yang melekat dengan pulut hitam,” terangnya kepada SinarPlus.

Kuih talam berkenaan juga kata Zainal, perlu dibiarkan sejuk seketika, barulah dipotong.

"Sebelum itu, sapu pisau dengan sedikit minyak agar kuih kita tidak melekat pada bilah pisau," tuturnya berkongsi tip.

Bercerita tentang urusan tempahan, pengusaha berjaya itu akan bangun seawal jam 4 pagi untuk menyediakan sekurang-kurangnya 40 loyang kuih talam pulut hitam termasuk beberapa jenis dan perisa yang lain dalam sehari.

Antaranya seperti kuih seri muka durian, keju oreo, cendol dan pelangi. Selain itu, terdapat juga Seri Muka Buluh Perindu dan satu lagi yang dipanggil sebagai Seri Muka Mak Dara.

Beritahu beliau, kuih talam di bawah jenama Aneka Talam Warisan Zailin Enterprise yang diusahakannya sejak tujuh tahun lalu mampu menjana pendapatan sekitar RM1,000 pada setiap hari minggu.

"Saya hanya memberi fokus tempahan pada setiap hujung minggu sahaja iaitu hari Sabtu dan Ahad bagi mereka yang ingin menganjurkan jamuan atau majlis seperti hari jadi, rumah terbuka, sedekah di masjid atau hari perkahwinan. Ada juga mereka yang ingin makan saja-saja di rumah," ujarnya yang melakukan penghantaran sendiri dari rumah ke rumah bagi memenuhi permintaan pelanggan di kawasan setempat.

Kepopularan kuih talam air tangan Zainal turut menarik perhatian pihak AnCasa Hotel & Resorts dan Glory Beach Resort, Port Dickson yang menjadikan air tangan Zainal sebagai salah satu hidangan di hotel mereka.

Katanya lagi, memandangkan sifat kuih seri muka yang tahan lama, kulinari itu sering dijadikan buah tangan dan pernah sampai hingga ke Aceh, Indonesia.

"Kalau dimasak dengan tata cara yang betul, insya-ALLAH dalam tempoh sehari masih lagi boleh dimakan,” ungkap beliau.

 

Jangan lupa follow SinarPlus di Instagram