SESETENGAH orang cakap, individu yang mahir dalam soal tanaman ini mempunyai 'tangan sejuk'. Mungkin benar bagai dikata kerana tidak semua orang memiliki kemahiran sebegitu.
Namun, bagi pelakon yang terkenal menerusi filem Mukhsin, Syafie Naswip, 29, berkata, beliau lebih percaya kepada semangat tidak mudah mengalah dan rajin berusaha dalam menginginkan sesuatu, termasuklah dalam soal menanam pokok.
Jika dilihat, kawasan rumah selebriti yang masih berstatus bujang itu hanya sekangkang kera, tetapi cara beliau memanfaatkan ruang yang ada sungguh mengagumkan.
"Sebenarnya, saya sudah empat tahun menetap di kediaman yang terletak di Nilai, Negeri Sembilan, tapi tak pernah sekalipun menanam sebarang pohon di belakang rumah.
"Namun, tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lalu telah memberi banyak peluang untuk saya mengubah persekitaran yang dulunya tiada apa-apa, kini sudah dipenuhi dengan pelbagai jenis tanaman sayuran, buah-buahan dan herba," katanya.
Di samping itu, ujar Syafie, kawasan tanaman yang dinamakan sebagai Kebun Bujang Nilai itu turut serikan dengan lampu hiasan bersama kepingan batu konkrit yang disusun rapi seolah-olah seperti menyambut kedatangan tetamu yang datang bertandang ke rumahnya.
"Saya mula mengubah persekitaran halaman belakang rumah pada Februari lalu. Ya, pada peringkat awal, saya pernah rasa nak mengalah kerana perlu bangun awal pagi untuk siram pokok. Kadangkala ada tanaman yang tidak mampu hidup biarpun sudah mengikut cara, petua dan teknik yang betul.
"Bila difikirkan semula, saya rasa tak salah sesekali gagal kerana itu membuat saya mula selidik semula dan melakukan eksperimen," ujarnya yang menjadikan internet sebagai sumber informasi utama mempelajari kaedah penanaman pokok yang sempurna dan membuat sedikit olahan terhadap teknik yang disyorkan.
[caption id="attachment_63227" width="800"] SYAFIE senang menghabiskan masa terluang di kebun mini miliknya.[/caption]
Inspirasi
Bercerita lanjut tentang Kebun Bujang Nilai, Syafie yang juga mahir memasak masakan asli Melayu berkata, kesukaran untuk mendapatkan bahan hidangan di kedai ekoran PKP baru-baru ini telah membuatkannya lebih bersemangat untuk bercucuk tanam.
Justeru, beliau memilih menanam tomato, thyme, daun bawang, daun saderi dan kangkung. Senang kata, mahu masak, petik sahaja di belakang rumah!
Pun demikian, ujar pelakon Polis Evo 2 tersebut, dirinya kini lebih memfokuskan kepada pohon hiasan seperti golden photos, aloe vera, snake plant, spider plant, succulents dan lain-lain.
"Idea menghiasnya banyak saya peroleh menerusi laman Instagram dan Pinterest. Saya juga membeli pasu dan biji benih dalam jumlah banyak," katanya yang bercadang untuk menceburi bidang tanaman komersial tidak lama lagi.
Melihat kepada binaan rak pokok bertingkat, Syafie memberitahu, beliau membikinnya sendiri dengan menggunakan beberapa kepingan papan.
Di samping itu, antara perkara lain yang dititik beratkannya adalah susunan pokok yang diatur mengikut tahap keperluan cahaya sesuatu tanaman.
"Perkara ini perlu diberi perhatian agar pokok tidak cepat layu dan kering. Ia juga penting dalam menentukan keserasian ‘mereka‘," jelasnya.
Untuk memastikan beliau tidak keliru dengan nama pokok dan untuk tampak lebih kemas, Syafie turut melabelkan kebanyakan tanamannya.
Paling mencuri tumpuan SinarPlus pastinya meja mudah alih yang turut ditempatkan di Kebun Bujang Nilai.
Sesekali minum petang atau makan malam di bawah hamparan langit bertemankan sejuta bintang dan dikelilingi tumbuhan menghijau memang menyeronokkan!
Sebelum melabuhkan tirai bicara, Syafie sempat berpesan. Katanya, apabila pokok sudah menunjukkan petanda akan mati, lebih baik alihkan ke dalam pasu yang berbeza sebelum meletakkannya bersama pokok yang lain.
Jangan lupa follow SinarPlus di Instagram