PEMERGIAN tragis Pegawai Kadet Laut, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain yang menggemparkan negara empat tahun lalu buatkan ramai tersentuh dan menitiskan air mata.
Dalam kes dikaitkan dengan pembulian itu, tubuh Zulfarhan didapati cedera terbakar, terseksa ke akhir nyawa sehingga menghembuskan nafas terakhir pada 1 Jun 2017.
Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa sebanyak 90 tekapan seterika wap yang dilakukan oleh lima penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) pada anggota badan Zulfarhan telah menyebabkan kematian mangsa, namun ia tidak terjumlah kepada niat membunuh dengan sengaja.
Kata Azman dalam penghakimannya, selepas mengambil kira keterangan Pakar Perubatan Forensik Hospital Serdang, Dr Salmah Arshad dan Ketua Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sungai Buloh, Dr Rohayu Shahar Adnan, mahkamah membuat dapatan bahawa kematian mangsa bukan suatu kematian yang mengejut selepas dicederakan.
Menurutnya, di peringkat pendakwaan, Dr Salmah berkata, bedah siasat mendapati terdapat 90 kesan luka lecur di hampir keseluruhan badan termasuk kedua-dua belah punggung dan zakar Zulfarhan.
Sejak awal kes menjadi tular, masyarakat menyifatkan kejadian berkenaan terlalu kejam dan tidak boleh diterima akal yang waras.
Berikutan itu, rajah laporan bedah siasat Zulfarhan yang tular di laman sosial menimbulkan lagi amarah ramai yang rata-rata sedih dan pilu mengingatkan kejadian yang terjadi.
Semoga kita semua dapat mengambil iktibar daripada kes ini. Katakan tidak kepada buli! Salam takziah buat keluarga Allahyarham Zulfarhan, Al-Fatihah.