BARU-BARU ini berlangsungnya Minggu Fesyen Kuala Lumpur (KLFW) di ibu negara menyaksikan ramai selebriti hadir bagi memeriahkan acara berkenaan.
KLFW membuat kemunculan semula berikutan edisi maya tahun lalu mendapat sambutan menggalakkan akibat pandemik Covid-19.
Acara tersebut tampak meriah namun apa yang paling menjadi perhatian ramai sudah tentu penampilan penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza (Tok Ti) yang kelihatan anggun pada majlis berkenaan.
Heboh di media sosial dan menjadi bualan ramai apabila anak kelahiran Kuala Lipis, Pahang itu dilihat menggayakan seutas jam tangan yang dianggarkan mencecah jutaan ringgit.
Selain itu, tular juga di laman TikTok menunjukkan harga beg tangan yang digayakan Tok Ti juga mencecah puluh ribu ringgit namun hanya diletakkan di lantai ketika menghadiri majlis.
Perkongsian itu mendapat pelbagai reaksi daripada warga maya yang rata-rata memuji ibu kepada dua cahaya mata itu tetap merendah diri dan tidak menunjuk-nunjuk kekayaan.
Kata warganet, isteri kepada Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa itu sememangnya layak memakai jam dan beg tangan berkenaan apatah lagi sudah bertahun-tahun menyanyi dan ianya hasil kerja keras selama ini.