BERBEKALKAN semangat tinggi dan keinginan untuk menimba pengalaman berbeza daripada bidang seni yang diceburi lebih empat dekad, penyanyi lagenda Datuk Jamal Abdillah mahu turut aktif dalam bidang perniagaan.
Jika sebelum ini, Jamal, 62, berjaya mengembangkan perniagaan ikan Arowana yang diusahakan beberapa tahun lalu, kini penyanyi Kekasih Awal dan Akhir itu memberanikan diri untuk terlibat dengan produk kosmetik pula.
Bapa kepada empat cahaya mata itu menjalinkan kerjasama dengan sebuah syarikat kosmetik yang memiliki reputasi tinggi menerusi jenama Zarania.
Menurut Jamal, idea kerjasama itu tercetus apabila dia melihat isterinya, Datin Zai Izzati Khiruddin cukup gemar berhias cantik dan bersolek setiap masa.
Menyokong minat isteri dalam bidang kecantikan, Jamal menjadikan kerjasama tersebut sebagai hadiah buat wanita paling istimewa dalam hidupnya itu.
"Saya menjalinkan kerjasama dengan Zarania, sekali gus menceburi perniagaan kosmetik sebagai hadiah sempena isteri saya hamil anak ketiga kami.
"Walaupun saya begitu teruja dengan bisnes baharu ini, namun saya akui perasaan bimbang itu tetap ada kerana pertama kali menceburi bidang kosmetik.
"Apa-apa pun, saya percaya produk ini boleh pergi jauh dan mungkin ia permulaan yang baik buat saya melangkah lebih jauh dalam bidang ini,” katanya yang turut menggalakkan isteri menceburi bidang perniagaan.
Biarpun perniagaan dijalankan itu sesuatu yang di luar kepakarannya, Jamal yakin ia bakal memberikan hasil positif dengan usaha dan kesungguhan yang diletakkan.
"Saya bersyukur sepanjang pandemik Covid-19, masih ramai yang membeli produk ini secara dalam talian.
"Ia memberi petanda baik dan bersesuaian dengan strategi pemasaran syarikat sekarang untuk memberi fokus kepada kaedah penjualan sebegitu,” katanya.
Amalan menyimpan
Biarpun mempunyai nama dan pengaruh yang besar dalam industri seni, Jamal mengakui sentiasa beringat tentang masa depan dan sedar akan pasang surut populariti yang dikecapi dalam kerjaya.
Selain mempelbagaikan punca pendapatan, penyanyi bersuara emas itu juga menjadikan amalan menyimpan sebagai satu kemestian buat dirinya.
"Saya bersyukur kerana sejak dulu saya memang seorang yang suka menyimpan duit dan sentiasa beringat tentang masa depan.
"Selain menggunakan pendapatan untuk perbelanjaan dan keperluan keluarga, saya pastikan sebahagiannya dijadikan simpanan dan pelaburan.
"Apabila berlaku perkara yang tidak diingini seperti pandemik Covid-19 dan kita tidak dapat bekerja, duit simpanan inilah yang akan menyelamatkan kita,” katanya yang sentiasa berfikiran positif.
Berkongsi tentang perkembangan kerjaya seni, Jamal bakal tampil dengan sebuah konsert istimewa sempena empat dekad pembabitannya dalam bidang seni.
"Konsert yang sepatutnya berlangsung di Istana Budaya itu terpaksa ditangguhkan disebabkan keadaan semasa berikutan pandemik yang melanda.
"Apa-apa pun, persembahan itu tetap akan diadakan pada satu tarikh yang akan diumumkan nanti,” jelasnya.