SELEPAS Perdana Menteri mengumumkan rakyat boleh keluar berdua membeli barang keperluan dapur, pastinya ramai pasangan khususnya suami isteri gembira dengan berita itu.
Mereka boleh keluar dengan harapan urusan pembelian lebih cepat dan mudah apatah lagi ada pembantu yang boleh menolong mengangkat barang yang banyak.
Namun dari sudut berbeza, kelonggaran itu seolah-olah disalahgunakan segelintir pihak yang memandang enteng soal jarak sosial dan ada yang tak segan silu bawa anak kecil bersama.
Perkongsian seorang warganet, Nor Shahidah Abd Kohar dalam akaun Facebook yang melihat orang ramai seolah-olah ‘terlupa’ dengan wabak pandemik yang masih lagi melanda.
"Bila dah bagi berdua masuk pasaraya. Dulu masa seorang beli, barang banyak konon nak makan 4 hingga 5 orang, sekarang datang berdua pun beli 4 hingga 5 barang.
"Dulu masa seorang elok saja sorong dua troli penuh, skrg satu troli tak penuh pun tolak dua orang. Dulu kena beratur sekurang-kurangnya 100 meter (m), sekarang dah jadi 200 m,” tegurnya.
Tulisnya lagi, jika dahulu pekerja bahagian peruncitan boleh menegur mengenai jarak sosial pelanggan apabila berada di dalam pasaraya, namun sekarang silap hari bulan kena maki kerana bangga kata satu family.
"Dulu masuk kedai tak sampai sejam, sekarang dah jadi berjam. Berbincang barangkali. Lagi bagus pulak, orang kedua tu budak kecil. Ramai sangat parent dah berani bawa anak datang pasaraya.
"Sekarang kami bagi saja masuk sebab malas dah nak gaduh. Bila dilarang, siap cakap government bagi dah datang berdua. Speechless. Ye la, kalau anak kena jangkitan jangan sebut kau ada datang pasaraya ye,” luahnya.
Nor Shahidah memaklumkan kos sanitasi bukannya murah kerana dianggarkan satu meter persegi sekurang-kurangnya RM1 namun bagaimana jika keluasan pasaraya lebih 10,000 meter persegi?
"Kau ingat murah ke kalau kami kena buat sanitasi? Kedai yang tak berapa besar ni pun dah 10,000 meter persegi, habis senang-senang je RM10,000.
"Kalau beli barang banyak, tak kisah pun datang berdua. Kalau rasa boleh beli seorang, elakkan ada orang kedua sebab anda menyebabkan kesesakan ok!,” nasihatnya.
Kongsinya lagi, rakyat sekarang ini nampaknya sudah berani keluar rumah secara berjemaah konon-kononnya keadaan sudah stabil.
"Bila nampak peratusan yang kena jangkitan dan kematian sudah menurun, peratusan yang pulih meningkat terus orang dah berani nak keluar rumah ramai-ramai.
"Beringatlah kawan-kawan. Beringat ye. Itu je nak cakap.. Beringat,” katanya.
Foto: Unsplash