SEMPENA HARI LELAKI SEDUNIA
APABILA menyebut perkataan menopaus, selalunya kaum wanita sahaja akan dikaitkan dengan situasi itu.
Namun, tidak ramai yang tahu bahawa golongan lelaki juga melalui fasa sama, tetapi ia dikenali sebagai andropaus.
Andropaus merujuk kepada peringkat kemerosotan hormon testosteron yang biasanya berlaku apabila usia seseorang semakin meningkat.
Seorang pekerja kilang, Suhairil Ali (bukan nama sebenar) mengakui, sebaik umurnya melangkau ke angka 40-an, beliau menjadi semakin cepat lesu, tidak bertenaga, sifat marahnya juga semakin membuak-buak dan lebih teruk, kemurungannya seolah-oleh sukar untuk diatasi.
"Melihat situasi itu, saya rasa tidak sedap hati, lalu berjumpa dengan pakar. Mereka maklumkan saya sedang mengalami gejala andropaus dan sememangnya istilah itu saya tak pernah dengar, ia juga agak aneh bagi saya," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.
Bagi mendapatkan pencerahan lebih lanjut, SinarPlus mewawancara Doktor Perubatan Am, Seksual dan Reproduktif, U.n.i KLINIK Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur, Dr Ahmad Ramdan Zainordin.
[caption id="attachment_65027" width="800"] Dr Ahmad.[/caption]
Katanya Dr Ahmad Ramdan, andropaus merupakan satu keadaan atau sindrom melibatkan seorang lelaki berumur yang mengalami gejala penurunan hormon androgen (ADAM) khususnya testosteron.
"Konsep penurunan hormon ini sama seperti menopaus bagi wanita, akan tetapi menopaus wanita lebih diketahui umum kerana ciri-cirinya yang lebih jelas seperti terputusnya kitaran haid dalam lingkungan usia 45 hingga 55 tahun.
"Bagi andropaus pula, prosesnya lebih perlahan tanpa lingkungan umur yang khusus. Lazimnya lelaki yang berusia 40 tahun dan ke atas akan mula mengalami penurunan hormon testosteron pada kadar 1 hingga 2 peratus setiap tahun," terangnya.
Ujian darah & terapi gantian
Memperincikan lebih mendalam, ujar Dr Ahmad Ramdan, terdapat beberapa jenis hormon androgen, namun yang paling utama ialah testosteron.
Beliau memaklumkan, hormon testosteron membawa fungsi kepada tiga domain utama seseorang lelaki iaitu:
- Fizikal: Testosteron berperanan untuk jisim dan kekuatan otot, ketumpatan tulang, pertumbuhan bulu dan minyak (sebum) pada kulit dan kesihatan sistem kardiovaskular iaitu jantung.
- Seksual: Peranan testosteron adalah untuk dorongan seks (libido), ereksi dan saiz zakar, penghasilan benih sperma serta isipadu ejakulasi.
- Psikologikal: Testosteron berfungsi untuk daya ingatan dan fokus.
Ujar pakar tersebut, ciri-ciri lelaki yang berdepan dengan isu andropaus biasanya akan menunjukkan mereka mengalami kekurangan dorongan melakukan hubungan intim, ereksi zakar yang lemah, kurang stamina untuk bersukan, mudah letih dan marah, peningkatan lemak pada badan, penurunan kualiti kerja serta fokus, termasuklah berdepan dengan tekanan.
Sindrom itu juga boleh berlaku disebabkan masalah kesihatan lain dan bukannya disebabkan kekurangan testosteron semata-mata, ujar beliau.
"Setiap lelaki boleh menilai sendiri ciri-ciri andropaus atau kekurangan testosteron melalui soal selidik dari St Louis University ADAM Questionaire," katanya.
ADAM Questionnare atau Androgen Deficiency in Aging Males merupakan ujian untuk mengetahui gejala penurunan hormon testosteron lelaki.
Hasilnya nanti akan menentukan adakah seseorang lelaki perlu untuk berkonsultasi dengan doktor tentang andropaus dengan lebih mendalam atau sebaliknya?
Dari segi perubatan moden, apakah yang akan dilakukan sekiranya seseorang lelaki memiliki tanda-tanda andropaus dan kekurangan hormon testosteron selepas dibuktikan melalui ujian darah? Jawab Dr Ahmad Ramdan, rawatan dengan terapi gantian hormon testosteron akan dipertimbangkan.
"Sudah tentu tidak semua lelaki memerlukan rawatan ini. Keperluan untuk memulakan terapi gantian hormon ini memerlukan timbang tara yang betul bagi memastikan kebaikan mengatasi risikonya.
"Namun, kaedah itu boleh diberi dalam pelbagai bentuk seperti suntikan, pil, gel sapuan dan pelekat tampalan yang mengandungi hormon testosteron.
"Rawatan ini sememangnya berkesan mengatasi gejala-gejala andropaus seawal tiga hingga enam minggu. Semestinya mereka perlu dipantau oleh doktor secara berkala selepas semua prosedur dilakukan."
Menurut Myhealth, lelaki yang mempunyai kanser payudara dan prostat tidak sesuai untuk terapi tersebut. Mengapa? Ini disebabkan testosteron akan menyebabkan barah lebih cepat membesar, kata portal kesihatan itu.
Pun demikian, terdapat beberapa implikasi lain yang boleh dihadapi apabila melakukan terapi gantian hormon. Antaranya seperti:
- Bengkak pada kaki.
- Boleh memburukkan lagi tekanan darah tinggi.
- Boleh tercetusnya masalah hati.
- Lelaki yang mengikuti rawatan itu berisiko mengalami masalah kesuburan (pengeluaran sperma berkurangan).
- Kesukaran untuk tidur (pernafasan yang berhenti untuk jangka masa lama semasa tidur).
- Pembesaran payudara.
- Peningkatan kepekatan sel darah merah.
- Saiz prostat semakin membesar.
Justeru, kata Dr Ahmad Ramdan, pencegahan paling ampuh dan langkah utama untuk menangani gejala andropaus adalah mengubah corak gaya hidup.
"Kekalkan berat badan yang unggul, berhenti merokok dan elak minuman beralkohol. Peri pentingnya, semua ini dilakukan secara konsisten," pesannya.
Berbeza bagi setiap lelaki
Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Pusat Pertubuhan Doktor Islam Malaysia, Dr Zubaidi Ahmad turut berkongsi pandangannya.
[caption id="attachment_65028" width="800"] Dr Zubaidi.[/caption]
Beritahu beliau, berdasarkan satu kajian sahih, 40 peratus lelaki yang berusia 45 tahun ke atas mengalami masalah kekurangan hormon.
Kata penceramah kesihatan dan pemakanan itu lagi, tahap testosteron yang mencukupi sangat penting bagi seseorang lelaki dewasa.
"Ini kerana peranannya bukan sekadar untuk menyebabkan perasaan ingin melakukan hubungan intim bersama isteri sahaja, malah merangsang kepada penghasilan tenaga, pembentukan otot pada tubuh dan minda yang positif," katanya.
Ujar beliau, tahap testosteron boleh diukur melalui pemeriksaan darah. Bacaan yang normal adalah di antara 300 hingga 1,000 nanogram per desiliter (ng/dL).
Mengulas lanjut, doktor perubatan terkenal tersebut menjelaskan, isu andropaus berbeza di antara seorang lelaki dengan lelaki yang lain.
Berikut antara spesifikasi masalah-masalah yang boleh dilalui:
- Tahap tenaga yang rendah.
- Rasa diri keseorangan.
- Rasa kurang motavasi.
- Sukar memberi fokus.
- Insomnia atau rasa sukar tidur.
- Peningkatan lemak pada tubuh.
- Kekurangan otot pada tubuh.
- Pembentukan payudara pada dada.
- Kerapuhan otot.
- Masalah mati pucuk.
- Masalah kesuburan.
- Saiz zakar yang semakin mengecil.
- Kehilangan bulu pada tubuh.
- Rasa panas badan terutama waktu malam.
Anak muda juga terkesan
Beritahu Dr Ahmad Zabidi, terdapat juga segelintir anak muda yang turut mengalami penurunan tahap testosteron.
"Namun, acap kali ia dikaitkan dengan masalah diabetes, hipertensi, tahap kolesterol yang tinggi dan masalah kesuburan," ujarnya.
Pernyataan pakar tempatan itu selari dengan pandangan Pakar Urologi dari Amerika Syarikat, Dr Geovanni Espinosa.
Bercakap kepada CNN News, beliau berkata, banyak lelaki muda berusia 20 hingga 40 tahun sudah mula mengalami ‘menopaus‘.
"Hal tersebut ditandai dengan munculnya beberapa masalah seperti penurunan nafsu, gangguan pada ereksi, insomnia, kenaikan berat badan, penurunan kepadatan otot dan tulang hingga berlaku agitasi dan depresi," katanya.
Dalam pada itu, Dr Zubaidi berkata, penting untuk diketahui bahawa masalah kekurangan hormon adalah suatu yang normal bagi seorang lelaki apabila semakin meningkat usia.
Justeru, simptom kekurangannya dapat diuruskan dengan baik jika pengurusan rutin harian dapat dilaksanakan dengan lebih teratur. Pendekatan itu berupaya membantu meningkatkan semula tahap hormon selari dengan peningkatan umur.
"Namun, bagi sesetengah lelaki terutama yang masih muda pula, pengambilan suplemen herbal, vitamin dan mineral mungkin membantu.
Cadangan yang sama turut diketengahkan oleh Healthline yang menasihatkan lelaki tidak mengira umur wajib bersenam, memiliki cukup yang tidur (kebanyakan testosteron diproduksi pada jam 5 hingga 7 pagi) dan kurangkan tekanan dalam diri.