PELAKON jelita, Puteri Aishah,27, selamat melangsungkan bergelar isteri kepada ahli perniagaan, Muhammad Firdaus,28, pada jam 11.15 pagi, Ahad.
Puteri atau nama sebenarnya Puteri Aishah Sulaiman dinikahkan oleh qadi, Mohd Abdul Nasir Abdullah dengan disaksikan bapa Puteri, Sulaiman Abd. Rahman.
Pada majlis itu, Puteri menerima mas kahwin RM300 beserta 5 dulang hantaran daripada pihak lelaki. Sementara pihak perempuan menyerahkan 7 dulang.
Bagaimanapun, jumlah wang hantaran dirahsiakan atas permintaan keluarga.
Majlis yang diadakan secara sederhana di Ballrooms JW Marriot Kuala Lumpur itu hanya membabitkan keluarga dan kenalan terdekat kedua belah pihak itu menyaksikan Puteri dan Firdaus mengenakan busana bewarna putih rekaan RizmanRuzaini .
[caption id="attachment_65254" width="640"] Selepas dua tahun mengenali hati budi, pasangan ini akhirnya disatukan.[/caption]
Puteri berkata, dia sudah lama menantikan saat ini dan berharap ikatan perkahwinan akan berkekalan hingga akhir hayat.
"Alhamdulillah majlis dirancang berjalan lancar selepas beberapa kali ditangguh akibat pandemik Covid-19. Saya bersyukur apabila impian kami untuk melihat perkahwinan ini disaksikan oleh keluarga kedua belah pihak tercapai.
"Saya dan suami juga memohon maaf kerana tidak dapat menjemput rakan-rakan artist yang lain atas sebab Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan(PKPP),” ujarnya.
Ditanya mengenai keistimewaan suami di matanya, Puteri berkata, Firdaus memiliki setiap ciri-ciri lelaki idamannya.
"Sepanjang dua tahun mengenali Firdaus, saya menyukai keperibadiannya. Dia seorang yang baik dan mengutamakan keluarga. Dia sangat menyayangi dan meletakkan keluarganya nombor satu.
"Malah, dia juga sentiasa menyokong minat saya dalam bidang lakonan. Dia juga sudah bagi lampu hijau dimana saya boleh teruskan kerjaya ini selama mungkin," jelasnya.
Dalam pada itu, majlis resepsi pasangan bahagia ini bakal diadakan di JW Marriot, Kuala Lumpur, malam ini.
FOTO : CST PRODUCTION