BIARPUN penglibatannya dalam bidang seni tidak lagi seaktif dulu dan fokus kini terarah kepada perniagaan dan aktiviti dakwah, penyanyi Adam AF mengakui tidak pernah berhasrat meninggalkan dunia nyanyian.
Bagaimanapun, kata Adam atau nama sebenarnya Mohd Aizam Mat saman, bersesuaian dengan imej dan penghijrahan diri, konsep muzik pilihannya sedikit berbeza di mana ia lebih terarah kepada mesej-mesej positif.
Terbaru, Adam, 38, bakal beraksi sebagai peserta program pertandingan nyanyian berkonsepkan realiti TV Islamik, terbitan TV AlHijrah iaitu Hijrahkan Laguku yang bersiaran pada setiap Sabtu, jam 9 malam.
"Alhamdulillah saya bersyukur dapat peluang menyertai program ini, sekali gus kembali beraksi di pentas untuk mengubat rindu para peminat.
"Sebelum ini saya sibuk menguruskan perniagaan, selain aktiviti dakwah menyebabkan saya jarang muncul di kaca TV, termasuk menjayakan persembahan pentas.
"Jadi ramai peminat tanya bila saya nak keluar dengan lagu atau program baharu. Hijrahkan Laguku adalah jawapan kepada pertanyaan itu dan saya harap dapat mengubat rindu mereka,” ujarnya.
Tidak hanya itu, bintang yang dicungkil bakatnya daripada program nyanyian Akademi Fantasia (AF) musim kedua itu turut merancang untuk tampil dengan single baharu.
"Insya-ALLAH jika segala yang dirancang ini menjadi, saya akan tampil dengan sebuah karya baharu berjudul, Apa Khabar, pada awal Januari depan.
"Lagu ini menyampaikan mesej tentang kerinduan kita terhadap seseorang, sekali gus bertanya khabar selepas pandemik Covid-19 yang membataskan banyak perkara.
"Sebenarnya saya sentiasa menghasilkan karya baharu, cuma ia tidak diterbitkan sebagai single, sebaliknya hanya dikongsi menerusi saluran YouTube atau Instagram sahaja,” katanya.
Masih solo
Berkongsi perkembangan terkininya, bintang kelahiran Sabah itu berkata, selepas memperlahankan kerjaya seni, dia aktif dalam bidang perniagaan termasuk menguruskan pusat rawatan alternatif Islam yang diasaskan lebih tujuh tahun lalu.
"Alhamdulillah kehidupan saya baik-baik sahaja dan sibuk menguruskan perniagaan yang diusahakan sebelum ini.
"Selain itu saya juga memberi tumpuan kepada pusat rawatan alternatif Islam yang kini diuruskan oleh adik saya di Puncak Alam, Shah Alam. Selepas penghijrahan lebih 10 tahun dulu, itu adalah salah satu cara saya untuk mendekatkan diri dengan tuhan, selain amal ibadah.
"Saya cuba membantu mereka yang memerlukan dengan kaedah yang mengikut ajaran agama yang mana ia secara tidak langsung dapat menyebarkan dakwah kepada orang ramai termasuk diri saya sendiri,” jelasnya.
Mengulas tentang status diri, Adam yang sebelum ini pernah berkahwin dengan pelakon Fiza Abd Halim pada 2013 dan berpisah setahun selepas itu, mengakui masih bergelar duda.
"Tiada istilah serik buat saya untuk berkahwin lagi. Jika ada jodoh, insya-ALLAH saya bersedia ke arah itu.
"Saya masih mencari yang sesuai. Pernah berkawan, tetapi tidak menjadi dan kita usaha lagi,” katanya.