Lima dekad dalam industri seni, Ogy Ahmad Daud mahu tinggalkan legasi

Iklan
Untitled design (48)

SENIWATI Fauziah Datuk Ahmad Daud, 59, berharap generasi muda mempunyai sikap menghargai dan menghormati ilmu sekiranya mahu bergelar anak seni yang berkualiti.

Ujar figura yang mesra dengan panggilan Ogy Ahmad Daud itu, lakonan bukan hanya sekadar melontarkan dialog.

Iklan
Iklan

"Lakonan adalah seni ekspresi jiwa. Tiba masanya orang menyedari lakonan adalah seni yang mahal, bukan seni yang main masuk dan lontarkan dialog sahaja, ia bukan begitu," katanya ketika ditemui pada sesi Instagram (IG) Live Bersama Penggiat Seni, menerusi topik Aku Pelakon Terbaik pada Sabtu lalu.

Ogy juga Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia 1986 dan 1987 berkata, beliau bakal mengeluarkan buku berjudul Mencari Noriah pada Januari depan.

Iklan

Ujar anak kepada seniman Ahmad Daud dan seniwati Saadiah itu, setelah lima dekad pembabitan dalam dunia hiburan tempatan, pilihannya kini adalah mahu meninggalkan legasi Ogy's Centrestage & Academy yang ditubuhkan pada 2018.

"Dengan apa yang diusahakan sekarang, iaitu mendidik dan berkongsi ilmu secara tidak langsung membuatkan harapan arwah ayah untuk melihat saya menjadi seorang pendidik tercapai.

Iklan

"Jika ditanya apa lagi yang ingin saya mahukan, apatah lagi, semua cabang dunia seni sudah diterokai, pilihan saya adalah meninggalkan legasi Ogy's Centrestage & Academy yang ditubuhkan pada 2018.

"Saya bersyukur dapat berkongsi ilmu dan memberikan semula pengetahuan selama hampir lima dekad kepada generasi muda.

"Saya percaya, kita tidak boleh menjadi pelakon hebat dalam masa tujuh hari. Seseorang kena belajar mengenali dan memahami apa itu seni sebelum menjadi bintang," katanya.

Dalam pada itu, IG Live Bersama Penggiat Seni anjuran Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem (Finas) itu diadakan sempena Festival Filem Malaysia Ke-31 (FFM31) yang akan berlangsung pada 10 Disember ini.

Mengangkat topik, Aku Pelakon Terbaik, sesi Live IG itu dikendalikan moderator yang juga dua editor hiburan, Saharudin Mohd Musthafa dan Roslen Fadzil.

Selain itu, beberapa sesi IG Live disertai pemain terkemuka industri seni akan diadakan sepanjang sembilan hari sehingga 29 November depan.