BTS muncul artis pertama terima anugerah utama AMA

Iklan
Untitled design (53)

BTS, kumpulan terkenal Korea Selatan sekali lagi melakar sejarah K-pop dengan muncul sebagai artis Asia pertama merangkul anugerah artis sepanjang tahun, antara anugerah utama di Anugerah Muzik Amerika (AMA).

Kumpulan dianggotai tujuh jejaka itu memenangi anugerah berkenaan di AMA 2021 yang disiarkan secara langsung dari Microsoft Theater, Los Angeles pada Ahad, 8 malam (waktu Amerika Syarikat), menewaskan lima nama besar - Ariana Grande, Drake, Olivia Rodrigo, Taylor Swift dan The Weeknd.

Iklan
Iklan

Ia kali pertama artis Asia meraih anugerah utama di AMA, lapor Agensi Berita Yonhap.

BTS juga memenangi kategori duo atau kumpulan pop kegemaran dan lagu pop kegemaran menerusi megahitnya 'Butter'.

Iklan

Kumpulan itu dicalonkan dalam kategori berkenaan untuk tahun kelima berturut-turut di AMA sejak 2018 dan memenanginya selama empat tahun berturut-turut.

Bagaimanapun ia belum pernah dicalonkan dalam kategori artis sepanjang tahun.

Iklan

Tahun lalu, BTS melakar sejarah apabila buat julung kali dicalonkan untuk anugerah Grammy, menjadi artis K-pop pertama tercalon bagi kategori duo pop terbaik atau anugerah persembahan kumpulan menerusi singlenya 'Dynamite'.

Meskipun gagal memenanginya, pencalonan itu dianggap penghormatan paling berprestij dalam industri muzik. - BERNAMA