Asalkan rezeki halal dan 'cukup' makan sepanjang Ramadan  

Iklan

PASTI ramai yang kenal dan masih ingat akan pemilik suara merdu yang juga bekas juara program realiti Sinaran Pasport Kegemilangan tahun 1996 ini. Namun begitu, kini beliau kian menyepi daripada dunia seni.

Apa agaknya aktiviti beliau sekarang?

Iklan
Iklan

Seperti insan lain, Alina Hassan tidak terkecuali turut terkesan penangan wabak Covid-19. Banyak tawaran nyanyian terpaksa dibatalkan selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Begitupun, ketika dihubungi Sinarplus baru-baru ini, suaranya tetap ceria biarpun dalam bulan puasa. Mesra menyambut salam penulis dengan nada bersahaja, ibu kepada tiga anak itu tenang menjawab satu persatu persoalan ditebak penulis.

Iklan

"Bulan Ramadan ini seperti biasa sahaja. Tiada bezanya seperti tahun sebelum ini. Cuma saya lebih banyak ambil upah menghantar barang keperluan dapur kepada penduduk setempat.

"Nak kata penat, masa mula-mula jadi personal shopper tu memang agak letih. Lama-kelamaan sudah jadi kebiasaan bila berjalan di kawasan kejiranan ini dengan menolak troli penuh barangan dapur," ujarnya mesra ketika ‘merungkai‘ jawapan buat pembaca Sinarplus yang ingin mengetahui perkembangan kehidupannya.

Iklan

[caption id="attachment_8298" width="1024"] KENANGAN Alina ketika membuat persembahan untuk program televisyen.[/caption]

Bercakap lebih lanjut mengenai ‘kerjaya‘ terkini itu, ibu berusia 52 tahun tersebut selesa dengan kehidupannya yang sederhana ketika ini. Baginya, sekurang-kurangnya ia dapat menampung kos sara hidup.

Khidmat yang ditawarkan peserta Mentor Otai berkenaan mendapat sambutan penduduk setempat lebih-lebih lagi kebanyakan pelanggannya mempromosikan kepada jiran-jiran.

"Kebanyakan pelanggan yang ada sudah menjadi seperti kawan dan mereka bantu promosi kepada jiran-jiran lain. Ada yang kenal saya dan ada yang tak kenal sebagai artis veteran.

"Namun saya tak ambil kisah semua itu, sebab yang penting saya boleh berkawan dengan mereka," katanya yang memaklumkan tempahan barang pada sebelah pagi lebih padat berbanding petang sepanjang Ramadan.

Menjalani kehidupan seadanya, Alina hanya menyewa bilik dengan kos lebih kurang RM200 sebulan.

Anak kelahiran Terengganu itu tetap memandang dari sudut positif cabaran yang dilaluinya sepanjang berdepan tempoh PKP, apatah lagi banyak tawaran nyanyian dibatalkan.

"Memang sebelum PKP, saya ada terima beberapa tawaran namun ketentuan takdir, saya reda dibatalkan. Lagipun alhamdulillah sepanjang PKP ini, saya dapat bantuan individu dan persatuan prihatin.

[caption id="attachment_8299" width="1024"] ALINA (kanan) terharu menerima sumbangan rakan artis yang prihatin dengan nasib kehidupannya sepanjang PKP.[/caption]

"Syukur saya masih boleh teruskan hidup dengan upah sebagai pembeli peribadi buat sementara waktu sebelum keadaan kembali normal," katanya optimis.

Rindu anak

Berjauhan dengan anak-anak pastinya terbit rasa rindu bukan kepalang buat pemenang tempat ketiga program Mentor Otai 2018 itu. Apatah lagi buat dirinya yang mengenangkan sayunya Ramadan.

"Kali terakhir saya berjumpa mereka seminggu sebelum PKP. Nasib baiklah dapat lepaskan rindu. Disebabkan sekatan rentas negeri, saya tidak dapat pulang menjenguk mereka.

"Apabila tamat PKP nanti, perkara pertama yang saya akan buat adalah pulang ke Terengganu untuk jumpa anak-anak," luahnya yang selesa dipanggil Kak Ina.

Artikel berkaitan: Juara Sinaran Pasport Kegemilangan kerja runner cari duit poket

Mengagumi kesungguhan kerajaan dalam membantu meringankan beban rakyat dan komitmen golongan anggota barisan hadapan yang tidak berbelah bahagi membendung wabak Covid-19 amat menyentuh hatinya.

"Saya faham cabaran petugas perubatan sebab sebelum ini saya pernah kerja di bahagian pembersihan di hospital. Memang diakui mereka sangat sibuk dan apabila ada wabak ini, pasti lagi sibuk.

"Bukan harapan saya seorang yang mahukan wabak ini ‘hilang‘, pastinya semua mahukan kehidupan normal seperti dulu. Semoga wabak ini cepat pergi dari muka bumi ini," ungkapnya.