Oleh SITI FARAH ELIANI SOLLEH
PADA September lalu, personaliti media sosial, Andika Putera mendedahkan, anak sulungnya, Alisha Puteri mengalami masalah sumbing pada bibir.
Sudah adat seorang influencer, apa sahaja yang dikongsi menjadi bualan. Tindakannya yang mengambil masa lebih kurang 44 hari untuk memuat naik wajah bayinya menjadi pertikaian ramai. Namun, Andika mempunyai alasan tersendiri.
"Saya tidak muat naik gambar Alisha bukan kerana malu, tetapi saya tunggu Alisha besar sedikit," tulisnya dalam laman Instagram.
Akui lelaki itu lagi, beliau sudah mengetahui keadaan Alisha yang sumbing ketika kandungan isterinya berusia lima bulan lagi.
Rentetan itu, selepas berdiskusi dengan pihak hospital, pada 28 November lalu, anak beliau menjalani pembedahan memperbaiki sumbing pada bibirnya.
Berbicara mengenai topik berkenaan, mungkin ramai yang ingin tahu apakah punca terjadinya dilema tersebut? Adakah faktor genetik memberi pengaruh yang besar kepada anak atau ada sebab-musabab lain?
Untuk mendapatkan kepastian, SinarPlus mewawancara Pakar Bedah Telinga, Hidung dan Tekak Surgeri Kepala dan Leher, Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru, Johor, Dr Ezairy M Sallih.
Dr Ezairy menerangkan, sumbing boleh berlaku sama ada pada bibir atau lelangit seseorang bayi.
Dalam satu keadaan, mungkin bayi boleh mengalami sumbing pada bibir atau lelangit, namun terdapat kes yang mana bayi terpaksa mengharungi kekurangan pada kedua-dua bahagian sekali gus.
Berdasarkan statistik semasa, sumbing bibir dan lelangit terjadi dalam anggaran satu dalam 1,000 kelahiran, manakala sumbing lelangit sahaja berlaku satu dalam 2,000 kelahiran.
BACA JUGA Nurul Nadia reda anak bongsu alami masalah sumbing selepas jalani pembedahan caesar
Ujian ultra bunyi
Kepada SinarPlus, Dr Ezairy memaklumkan, hakikatnya, tiada sebab spesifik seseorang bayi dilahirkan dalam keadaan sumbing.
Beritahu pakar berkenaan lagi, hal tersebut sebenarnya boleh dikenal pasti sejak dari peringkat awal lagi.
Apa yang boleh dilakukan adalah mendapatkan pandangan doktor.
Pun demikian, kata Dr Ezairy, bayi sumbing bukanlah satu masalah yang akan berlangsung sepanjang hayat kerana ia boleh diatasi dengan beberapa pendekatan perubatan yang khusus.
"Rawatan sumbing memerlukan penglibatan daripada pelbagai disiplin termasuklah pakar pembedahan plastik, pakar pembedahan otolaryngologist, doktor gigi, pakar pembentukan gigi, pakar audiologi (pakar pendengaran dan terapi pertuturan) dan kakitangan kesihatan lain," beritahunya.
Menjawab pertanyaan adakah bayi yang sudah diketahui sumbing lebih awal boleh menjalani pembedahan selepas ‘malaikat kecil‘ itu dilahirkan? Jawabnya:"Ia (pembedahan) hanya boleh dilakukan setelah bayi berumur tiga bulan."
Sebagai langkah awal juga, ibu bapa disaran untuk merujuk kepada pakar terlebih dulu bagi memastikan si kecil tidak mengalami masalah lain yang berkaitan.
Bukan itu sahaja, terangnya, pembedahan yang dirancang juga adalah bergantung pada masalah sumbing yang dihadapi. Ini kerana terdapat bayi yang hanya memerlukan sekali pembedahan. Sesetengahnya pula dikehendaki melalui beberapa siri prosedur yang diusulkan.
Kadar kesembuhan
Masih lagi memperkatakan tentang rawatan, Dr Ezairy berkata, selain teknik pembedahan, cara menangani kemelut berkenaan sebenarnya boleh bermula dengan langkah pencegahan.
"Apa yang boleh saya syorkan, ibu-ibu sekalian diminta mendapatkan nasihat doktor berkenaan risiko berulangnya masalah sumbing pada kehamilan berikutnya.
"Semasa hamil juga, ibu-ibu digalakkan untuk tidak mengambil sebarang ubat tanpa nasihat doktor," pesannya.
Mengenai kadar dan proses kesembuhan pesakit selepas menjalani prosedur, semuanya bergantung kepada kondisi individu, kata pakar berkenaan.
"Sekiranya pesakit hanya mengalami masalah sumbing dan tidak berdepan dengan isu kesihatan lain, selalunya mereka akan melalui hidup seperti biasa apabila umur semakin meningkat," katanya.
Namun, kadangkala terdapat kes pesakit yang mengalami beberapa kemelut kesihatan lain seperti sakit pada telinga, salur pernafasan terganggu dan lain-lain lagi.
Lebih membimbangkan, ujar Dr Ezairy, bayi akan berhadapan dengan kesukaran untuk diberi susu.
Ancaman produk
Memang tidak dapat dinafikan, keadaan bayi dalam kandungan turut bergantung pada elemen persekitaran, pemakanan dan juga ubat-ubatan yang diambil oleh ibu.
Pegawai Farmasi Kementerian Kesihatan, Fahmi Hassan ketika mengulas mengenai perihal ubat-ubatan berkata, sesetengahnya mengandungi kesan teratogenik yang boleh memberi kesan kepada pertumbuhan bayi dalam kandungan.
Namun demikian, doktor akan mempertimbangkan risiko dan kelebihan jika ubat tersebut benar-benar diperlukan, tetapi secara amnya, kita akan cuba mengelak untuk menggunakannya.
Untuk krim sapuan pada muka pula, ujar Fahmi, jika kandungannya adalah dibenarkan untuk pembuatan sesuatu kosmetik, memang tidak mendatangkan masalah.
"Produk yang dicampur dengan racun berjadual seperti tretinoin boleh diserap dan akan memberi kesan kepada kandungan, tetapi risikonya kurang berbanding dengan ubat oral atau suntikan," ujarnya.