TURUT terkesan dengan bah besar yang melanda negara kini, pelakon dan pelawak Ebby Yus juga terpaksa menanggung kerugiaan sebanyak RM200,000 akibat kediaman miliknya yang masih dalam pembinaan di Hulu Langat, Selangor musnah dihanyutkan arus baru-baru ini.
Malah, Ebby berharap mangsa-mangsa banjir yang ditimpa musibah agar terus kuat dan reda dengan ujian yang berlaku.
Katanya, dia sudah berlapang dada apabila kediaman miliknya yang masih dalam pembinaan itu yang hanya tinggal 10 peratus untuk disiapkan musnah semuanya.
Pesan Ebby, redalah, sesungguhnya di sebalik kesakitan itu ada nikmat yang begitu indah selepas kita sihat atau berdepan kesusahan.
Menurut Ebby, segala kekuatan hadir sebaik dirinya masih diberi kesempatan untuk terus hidup walaupun bersusah payah mencari duit untuk membina rumah.
Ujarnya, akui ujian orang lain lebih dahsyat, secara jujur dirinya tak sedih dengan apa yang berlaku kerana sekurang-kurangnya orang tahu yang selama ini anggapan sesetengah pihak yang anggap golongan artis tidak berusaha atau tak simpan duit, dia adalah individu yang usahakannya.